Bismillahirrahmanirrahim
Kini sudah masuk hari ketiga saya bercuti. Sungguhpun 3 hari telah berlalu, kesan perpisahan itu masih lagi dirasai. Seolah-olah baru semalam saya menjejakkan kaki ke Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin. Kenangan terindah bersama rakan-rakan sering bermain difikiran..pahit,manis,suka duka..masya-Allah..alangkah indahnya saat dan memori itu. Ingin rasanya kembali ke saat-saat manis itu semula. Namun, inilah lumrah kehidupan, perpisahan itu pasti berlaku..dan perpisahan bukanleh beerti berakhirnya sebuah harapan, namun merupakan satu permulaan bagi sebuah ingatan dan tautan ukhwah yang berlandaskan islam dan iman. Bermulanya nanti sebuah kembara kehidupan yang baru, lebih matang, dan lebih cabaran.
Buat rakan-rakan seperjuangan, tidak dinafikan kesedihan itu sentiasa mengiringi perpisahan. Namun jangan jadikan ianya sebagai asbab terhentinya perjuangan dalam mengejar cita-cita dan harapan. Sebaliknya jadikan ia sebagai sumber kekuatan dalam membina sebuah kehidupan yang didimpikan. Ingatlah, tautan ukhwah fillah yang tulus ikhlas semata-mata kerana Allah pasti menjanjikan satu kemanisan yang berpanjangan. Ukhwah itu hadir dalam doa dan ingatan, ianya bukan sekadar terletak pada apa yang dizahirkan.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda :
“Tidak sempurna iman seorang kamu selagimana kamu tidak menyayangi saudaramu sebagaimana kamu menyayangi dirimu sendiri..”
Sayangnya kita pada teman, sepertimana sayangnya kita kepada diri sendiri. Segala kebaikan yang menimpa diri kita, pasti ingin dirasai bersama teman tercinta. Ukhwah fillah menghadirkan amar ma’ruf wa nahi munkar. Ukhwah fillah menyemai biah solehah dikalangan masyarakat..ukhwah fillah menjanjikan kemanisan iman dalam beribadah.
Justeru sahabat, relakan pemergian sahabatmu yang tercinta demi meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh rasul junjungan. Perjuangan dakwah yang belum selesai, kerana tinta perjuangan itu tiada noktah perhentian. Kuatkan dirinya dengan doa dan ingatan..jagalah ukhwah itu dengan seerat-eratnya. Sejauh mana kita menghargai ukhwah yang terjalin dapat dinilai setelah sahabat itu tidak dapat lagi bersama disisi kita…saujana hanyalah dipandangan, di hati hanyalah sejengkal, saujana jarak yang memisahkan, dihati tidak berjauhan…berhentilah menangis sahabat, ayuh kita teruskan perjuangan ini. Perpisahan itu amat pahit untuk telan, namun kepahitannya hanya sementara kerana dihujungnya terletak kemanisan yang berkekalan…
Ingin sekali berkongsi kata-kata sahabat yang amat saya hormati dan sayangi. Sahabat yang menjadi sumber inspirasi dan sentiasa memberi kekuatan diri…
-
“mencari seorang teman seperjuangan bagaikan mencari sebiji benih pokok dalam semak yang berduri..bersedialah untuk dilukai, jangan mengalah untuk terus mencari..andai sudah kau temui, sayangilah ia dengan sepenuh hati semoga ukhwah itu akan kekal abadi..”
-
” Usah ditangisi perpisahan ini, jika ada rezeki pasti kita akan dipertemukan nanti..jika tiada rezeki, semoga Allah kurniakan sahabat yang lebih baik dan lebih kekal..jika tiada rezeki juga, semoga kita dipertemukan di syurga nanti..=) “

“Tiada nikmat terbesar selain nikmat iman dan islam yang ada pada orang mukmin melainkan teman-teman yang soleh. Apabila kamu merasai kewujudan kasih sayang yang ada padanya, maka genggamlah ia dengan seerat-eratnya…” Umar ibnul Khattab






