Bismlillahirrahmanirrahim
Saat menulis post ini ketika sedang membuat ulangkaji Algebra dan Calculus bagi menghadapi Peperiksaan Akhir Semester pada hari Rabu ini. Terasa seperti ingin berehat sebentar lalu meng’update’ blog setelah sekian lama terbiar berlalang dan tidak terurus.
Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Masih belum rasa mengantuk dan ingin tidur. Begitu bersemangat menyiapkan beberapa perkara dahulu sementara menantikan masuknya waktu subuh di bumi kangaroo ini.
Sekadar perkongsian, disaat keseorangan di dalam bilik bertemankan siulan cengkerik serta pungguk rindukan bulan, tiba-tiba teringat dan terkenangkan Musolla As-Saad di Kolej Yayasan UEM.

“Musolla As-Saad – Surau yang paling cantik dan tenang di lembah beringin. Sumber ketenangan dan inspirasi. Tempat ukhuwah mula-mula berputik.
Marilah kita bersama-sama memakmurkan rumah Allah ini selagi kita diberikan kesempatan. Tidak rugi kita bersolat jemaah di rumah Allah. Dengan bersolat berjemaah, maka rumah Allah ini menjadi lebih makmur, ukhuwah imaniyah terbina, kepemimpinan umat bertambah jelas, dan syi’ar Islam menjadi nyata dalam kehidupan seharian.
Ibnu Umar r.a. berkata: “Bersabdalah Rasulullah s.a.w. : “Pahala solat jemaah melebihi pahala solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjad”. (HR: Bukhari dan Muslim)”
sumber : www.muscom.iluvislam.com
Membuatkanku terkenang pada tazkirah subuh seorang sahabat yang diberi gelaran “The next Nobel Prize Winner” oleh seorang guru Kimia yang berasal dari Southampton.
Tazkirah subuh – Aktiviti harian di Musolla As-Saad. Alangkah rindunya saat dan ketika itu. Bersama-sama sahabat,berhalaqah dalam satu kumpulan. Mendengar peringatan, meniti pengisian…
Mu’adz, sahabatku…pelajar tajaan Bank Negara dan kini sedang menuntut di Royal College of Surgeon, Ireland dalam bidang perubatan.
Tazkirah subuhnya berbunyi begini :
Pada zaman dahulu, ada seorang wanita tua yang merasakan dirinya selalu ditimpa musibah. Apa yang dibuat semuanya tidak kena. Apa yang dihajatkan semuanya tidak dapat. Asyik gagal sahaja.Sering menyalahkan takdir. Sehingga menganggap dirinya seorang yang Total Failure.
Semasa dia sedang berjalan-jalan di sebuah taman, seorang anak kecil yang comel molek datang menghampirinya membawa sekuntum bunga lalu berkata. “Cantik kan bunga ini?”
Wanita tua itu seakan-akan acuh tidak acuh sahaja dengan kehadiran anak kecil itu. Maklumlah, siapa mahu melayan anak-anak kecil yang secara tiba-tiba datang menghampiri orang dewasa. Tidak setaraf kononnya! Tidak sama standard. Itulah mentaliti sesetengah orang zaman ini. Tidak pernah ingin menghormati atau menyayangi golongan kanak-kanak.
Tetapi wanita itu tetap mempunyai sifat ingin menjawab. Mungkin kerana tidak ingin menghampakan harapan permintaan anak kecil itu. Lalu dia menjawab dengan mudah..
“A’ah, bunga itu cantik nak..”
Mendengar jawapan itu, si snak kecil itu tidak berlalu begitu sahaja. Dia terus membelek-belek bunga tersebut dengan penuh keasyikan dan tersenyum sendirian. Apalagi, si wanita tua itu pasti berasa pelik, hairan, dan musykil.
Kenapa ya….?
Kuasa Allah menentukan segalanya, apabila diamati betul2, rupa-rupanya si anak kecil itu BUTA matanya.
Menyedari hakikat kejadian yang menimpa, wanita itu tersentak lalu bercucuran air matanya. Menginsafi kejadian yang berlaku dan mengaitkan dengan kisah kehidupannya.
Kenapa? Masakan si anak kecil itu tahu bunga itu cantik sedangkan dia tidak dapat melihat? Ini kerana dia sangat yakin dengan apa yang diyakininya, dia sentiasa berfikiran positif dalam hidupnya dan tidak pernah mengeluh. Sungguhpun pandangan matanya gelap,namun terang pada pandangan hatinya. Dia sangat gembira dan ceria. Malah bersyukur dengan apa yang dimiliki.
Seandainya hendak dibandingkan dengan wanita tua itu, dia masih dikurniakan kehidupan, malah pancaindera yang lengkap untuk terus berusaha dan berusaha sehingga tiba takdir menjemputnya kembali. Wanita itu berjuta-juta kali lebih beruntung daripada si anak kecil itu.
Itu yang membuatkan wanita itu terharu dan tersedar dari lamunan hidupnya yang lalu. Dalam setiap kegelapan yang dirasai, pasti ada sinar cahaya yang menanti. Carilah ia dengan pandangan hati yang tulus, hanya berserah diri kepada Ilahi. Di situ, kita akan menemui kebahagiaan dan ketenangan yang abadi. Sentiasa berfikiran positif dan khusnul Zan (bersangka baik) dengan setiap ujian diberi.
Orang yang berjaya, adalah orang yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat pemberianNya tanpa keluh kesah dan berusaha untuk memperbaiki dirinya.
Tazkirah ringkas Mua’dz membuatkanku tersenyum sendirian.
Benarlah, dengan bersabar, kita perlu redha, hanya dengan itu kita dapat memahami makna sebenar SYUKUR…

Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk. (Al-Qashash: 56)
Sekadar coretan ringkas disepertiga malam…
Wallahua’lam







Ish..tak boleh la dengar linear algebra and calculus.
Menyirap rasa darah ni. Jom2 study. Best subject tuh sebenarnya
kawan muad’z eh??
salam dari Dublin..
salam, huhu, alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah swt
dh lme x berpeluang dgr kuliah subuh