Feeds:
Posts
Comments

Bismillahirrahmanirrahim.

“Afiq, jom la tengok bola pagi ini..final champions league, Man Utd lawan Barcelona”, ajak salah seorang temanku.

“Jom, dah lama juga tak tengok champions league..maklumlah, sejak kaki sakit nie dah lama tak turun padang..teringin juga nak tengok..pukul berapa tu?”, balasku bersahaja.

“4.45 pagi waktu Sydney”, ringkas jawapanya.

“Hurm, okay InsyaAllah..”, aku tersenyum sambil minda ligat berfikir…

BOLA SEPAK – Sebuah sukan yang sangat popular pada masa ini. Boleh dikategorikan antara sukan yang “cantik” dan “memukau” manusia terutama kepada kaki-kaki bola.

Tengok sahaja kelibat2 pemain handalan di padang…Persis sebuah orkestra yang memainkan lagu indah. Sekiranya “menjadi” taktik dan strategi, maka sedap dan cantiklah corak permainan. Sekiranya tidak, lain pula jadinya. Bosan juga melihat permainan yang berentak perlahan, tiada stamina, tidak konsisten, dan tidak “cantik”.

Semoga mutu permainan bola sepak negara Malaysia tercinta dijauhkan daripada bencana itu..amin.

Subhanallah, sejenak terfikir betapa hebatnya ciptaan Allah. Betapa besarnya anugerah Allah kepada kita. Kebolehan untuk menggelecek di padang, tandukan sambil terbang, rembatan kencang, swinger, dan sebagainya. Jelas menunjukkan betapa hebatnya Tuhan yang menciptakan. Dari mana datangnya kualiti itu kalau bukan dari latihan? Dari mana datangnya latihan kalau tiada keinginan untuk berlatih? Dan dari mana datangnya keinginan kalau tiada tubuh badan yang sihat sempurna untuk bermain..Allah~

sl_01.1

Akal mencetus TAHU, hati menyemai MAHU, diri mendepani latihan agar MAMPU.

Sejak kecil lagi aku amat meminati permainan ini. Salah satu daripada sukan kegemaranku selain kriket. Tetapi, sejak kecederaan ligamen yang dihadapi beberapa tahun yang lalu (juga disebabkan bola), minatku kini hanya dapat dizahirkan di depan kaca televisyen sahaja. Tidak mampu lagi berada di suasana “padang”.

Ramainya orang sanggup “berjaga malam” untuk menyaksikan perlawanan bola sepak. Tidak dilupakan, ramainya orang yang sanggup “bangun awal” semata-mata ingin menonton perlawanan bola sepak.

Bagi yang “fanatik bola”, sanggup bersengkang mata sabar setia menanti walaupun dirinya ada kelas atau kerja di awal pagi.

Hebat sungguh penangan bola.

Semuanya berbalik kepada satu persoalan pokok, mengapa kita sanggup berbuat begitu?

“Kepuasan” – itu antara asbab yang dapat difikirkan buat masa ini.

Mengapa puas? Kerana dapat melihat kepada keputusan end-result dengan segera.

Persoalan yang sering dilontarkan kepada saya, mengapa amat sedikit mereka yang bangun mendirikan solat malam, mahupun solat subuh secara berjemaah?

Jawapan mudah, kerana tidak dapat melihat end-result dengan segera. Hanya percaya, tetapi tidak yakin.

Percaya syurga itu ada, tetapi tidak yakin, maka tindakan tidak berusaha untuk mendapatkan.

Aduhai jiwa, bukankah rasulullah pernah berpesan:

“Seandainya golongan kafir mengetahui ganjaran yang diberikan kepada mereka yang bersolat subuh secara berjemaah, nescaya mereka pasti akan menghadirinya walaupun terpaksa merangkak” - Sanad yang baik.

Tanyalah pada diri, bagaimana keadaan kita? Seandainya kita sanggup bangun malam untuk menonton perlawanan bola sepak, mengapa kita tidak mampu untuk ber”Qiamullail” mahupun solat subuh secara berjemaah?.

Bola Sepak itu melalaikan andai kita tidak meletakkan Allah sebagai matlamat. Tiada masalah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di awal pagi. Seandainya itu boleh, maka seharusnya tidak lagi menjadi alasan untuk tidak bangun ber”qiamullail” mahupun solat subuh.

Time tengok bola, bersemangat bangun..time solat subuh atau qiamullail,,Allah..liat pula nak bangun. Hairan?

Sedangkan aktiviti itu berlangsung pada waktu dan masa yang hampir sama.

Iman itu asas taqwa. Muhasabah diri kembali untuk “check & balance” iman kita. Sesuatu perlu dilakukan agar kita tidak menjadi mereka yang tertewas dengan kehidupan didunia.

Kita mungkin sedih di “sini” kerana pasukan pilihan kita tewas, tetapi kesedihan di”sana” lebih sengsara seandainya diri kita sendiri yang tewas. Lebur solat subuh, hancur solat tahajud..Allah~

Tewas dalam perlawanan antara iman dan syaitan.

Semoga kita tergolong dikalangan hambaNya yang berjaya. Ameen.

Wallahua’lam.

p/s: Tahniah Barcelona, permainan anda memang cantik! You deserve to win the match! Buat penyokong Man Utd, sabarlah..langit tak selalunya cerah… =)

Bismillahirrahmanirrahim.

Penat menelaah tajuk “Fourier Series”, berehat sebentar dengan melayari blog2 sahabat, para ulama’, malah facebook! Sudah lama rasanya tidak ber”blog-hopping” seperti satu masa dahulu. Fenomena blog, pencetus perubahan PRU ke 12!

Sedang mata lirik memilih tajuk serta isi kandungan blog yang menarik, ibarat sambaran petir, terpaku kepada tajuk ini.

Bagaimana Sultan Muhammad al-Fatih bebaskan Kota Istanbul

“Wah, ini nampak menarik..dah lama tak baca kisah sultan muhammad al-fatih”, dugaku sendirian.

Dugaanku tepat. Artikel yang ditulis oleh Naib Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS), Dato’ Husam Musa sempena mengingati peristiwa pembebasan kota constantinople/istanbul daripada kebatilan & seterusnya memberikan nafas baru kepada kota itu dengan pemerintahan Islam yang mapan.

Seperti diduga, penulisan Dato’ Husam Musa tersirat dengan fakta dan figura dari sudut teknikal & pengajaran (ibrah) daripada sejarah suci ini.

Bermulanya pengepungan Kota itu pada tanggal 5 April 1453, akhirnya pada tahun 29 Mei 1453, ianya berjaya dibebaskan daripada cengkaman kuffar.

Subhanallah!. Sudah pastinya peristiwa pembebasan kota constantinople sangat berkait rapat dengan hadith nabi yang masyhur malah merupakan satu janji Allah kepada umat Islam.

“Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya”

[Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335] Sumber

Sungguh, ratusan tahun terpaksa dinanti dengan sabar dan cekal oleh para pejuang Islam untuk membebaskan kota constantinople daripada pemerintahan zalim & menindas. Berhala dipuja, Allah disyirikkan, rakyat tertindas, pemimpinya gila harta! gila wanita! gila wang! dan sebagainya. Penderitaan rakyat sudah tentu sukar digambarkan tatkala itu.

“Kullukum ra’in, wa kullukum masulun wa rai’yyati”

Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa yang dia pimpinkan – Maksud hadith.

“Hinggalah muncul era pemerintah Kesultanan Othmaniyyah, Sultan ke-7 bergelar Sultan Muhammad bin Murad II menaiki takhta. Beliau insan biasa yang luar biasa.

Luar biasa pada keghairahannya terhadap misi Constantinople.

Luar biasa pada ketinggian akhlaq dan ilmunya.

Luar biasa pada penguasaan kemahiran memerintah dan peperangan.

Luar biasa pada Syariatullah dan Sunnatullah yang dijunjungnya atas nama TAQWA.

Sultan Muhamamad al-Fatih mengkaji aspek ketenteraan, aspek politik dan sosial Constantinople. Beliau mengetahui serba serbi tentang kekuatan dan kelemahan kota yang bakal ditundukkan itu lantas bertindak selaras dengannya. Malah bukan sahaja beliau yang hebat, tentera-tenteranya juga sama tinggi.”(Abu Saif, 2008, sumber)

Subhanallah! Bahasa mudah yang boleh digunakan untuk menerangkan ciri-ciri Sultan Muhammad al-Fatih antaranya All-Rounder, Versatile, Serba bidang.

“Dimanakan ku cari penggantimu?”

Lihatlah! Pemimpin memberikan impak yang besar kepada negara. Apabila berbicara tentang negara, sudah tentu golongan sasaranya adalah kepada rakyat. Apabila kepimpinan dibina atas dasar IMAN & TAQWA, maka pastinya negara, malah dunia akan menjadi aman & sentosa. Jika politik dikotori dengan ideologi untuk “menerima” semata-mata, maka sampai bilapun keamanan tidak akan tertegak.

Apakah dia ideologi “menerima”?

Memimpin atas dasar ingin mendapat “ganjaran” dan “imbuhan” sebagai pemimpin berbanding memimpin atas dasar ingin mengajak rakyat kembali kepada kebaikan dan jauh dari kefasadan. Inilah ideologi yang dahulunya pernah diasaskan oleh Niccolo Machieveli lantaran ketidak puas hatianya terhadap corak pimpinan gereja semasa zaman kegelapan eropah satu masa dahulu.

Lantas, AGAMA dipisahkan daripada KEPIMPINAN kerana melihat penggabungan dua elemen itu tidak memberi sumbangan kepada kepentingan diri.

Jauh sekali tulisan ini untuk membincangkan isu ad-din wassiyasah (agama dan politik), malah jika hendak membincangkan pun, perlu kepada fakta dan sumber-sumber yang bersifat akademik.

Tetapi, renungkanlah kembali kisah perjuangan Islam satu ketika dahulu..tokoh2 pemimpin terkenal yang pastinya sentiasa hidup di dalam lipatan sejarah..Rasulullah s.a.w sendiri, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali, Umar Ibnu Aziz, kerajaan2 islam yang muncul selepas itu..Allah, begitu banyak sekali sehingga tidak tertulis disini. Di mana sumber kekuatan mereka?

Negara kita juga punyai sejarah yang serupa. Sewaktu zaman Sultan Muzaffar Shah (setelah Islamnya Parameswara), Tanah Melayu menjadi sebuah kerajaan Islam yang sangat kuat dan hebat sehingga dikenali sebagai Serambi Mekah. Hukum kanun & undang-undang laut Melaka menggunakan Al-Quran sebagai rujukan perlembagaan (bukannya Reid). Sultan Alaudin Riayat Shah sendiri menggunakan pendekatan Saidina Umar dalam mentadbir.Tanah Melayu aman sejahtera sehinggalah pejajahan Portugis pada tahun 1511.

Tanah Melayu ataupun Malaysia dimuliakan dengan ISLAM. Tanpa Islam, adakah kita bisa mencapai apa yang mampu dicapai sehingga ke hari ini? Sebab itu saya AMAT MUSYKIL kenapa di dalam kursus BTN, negara diletakkan prioriti yang utama terlebih dahulu berbanding agama. Bila ditanya, dijawab “apa kamu sudah lupa pada sejarah?“, tetapi persoalan saya timbul berdasarkan FAKTA  sejarah yang dipelajari.

Sejarah makan tuan? – mungkin, tapi saya rasa sejarah yang lalu adalah bicara Allah buat kita yang mahu berfikir.

Percaya selepas melihat sesuatu tiada nilai iman. Ia hanya suatu ikrar pada sesuatu yang telah ada hasilnya. Percaya seperti ini percaya murahan yang tidak berhajatkan kepada usaha dan pengorbanan.

Namun Baginda SAW mengajar para sahabat supaya percaya sebelum melihat sesuatu, dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Itulah hebatnya motivasi minda mukmin profesional.

Mereka percaya sebelum melihat dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Kita belum pernah melihat Syurga, namun kita mempercayainya. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

Kita juga belum pernah melihat kemenangan Islam, bahkan diselubungi kekalahan demi kekalahan. Namun kita percaya bahawa hari esok adalah untuk Islam. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

Bahawa kemenangan adalah milik Islam.

Andai cukup syarat-syaratnya.

Wallahua’lam.

Bismillahirrahmanirrahim.

“Dengarlah, hati bicara…bermula kenangan indah..”, ringtone lagu Sahabat nyanyian Hanafee zin menganggu tumpuanku yang sedang menelaah tajuk “Refrigeration Cycle” usai sarapan pagi tadi. Ada panggilan daripada si dia..

“Nombor macam familiar..”, hati kecil berbisik.

“Hello?”

“Hello Muhammad, how are you doing today. I’m Con from Ray White Kingsford, regarding the house at eastern avenue, are you still interested in it?”, telo Australianya jelas kedengaran. Berkerut-kerut dahiku cuba memahami setiap butir perkataan.

“Well, yeah sure. I’m really interested in the house. Sorry I haven’t submit the application form since there are still some documents that I need to prepare beforehand”. Jawabku tenang, sambil membelek-belek borang permohonan yang masih “bersih”.

“It’s okay mate, just fill in the form and bring any documents that you have at this state. I’m looking forward to speak to you then.” Balas si agen, cuba untuk memujukku agar segera menghantar borang permohonan.

“Alright, no worries..I’ll submit the form tomorrow as soon as possible.”, balasku sambil cuba memikirkan apa tindakanku selepas ini.

“Thanks mate, cheers..”. ringkas jawapanya yang terus mengakhiri perbualan kami.

Terukir senyum kepuasan dan kesyukuran dibibirku. Alhamdulillah. Entah kenapa hatiku gembira berbunga-bunga. Persis bunga-bunga tulip mekar di tanah subur canberra semasa menjengahnya musim bunga..Allah~

Lamunan terhenti seketika apablia memikirkan dokumen-dokumen penting yang perlu disiapkan segera. Aduh, banyakla pula kerja nak kena buat..ditambah lagi dengan jadual akademik & kuliah yang sangat sarat. Design Report & Proposal, Exam, Lab dan sebagainya. Menyesal pula rasanya kerana terus membuat keputusan melulu tadi.

“Aku harus cepat, peluang nampaknya sudah tersedia..perlu pantas bertindak”, ngomelku sendirian.

Maka, aku memasukkan diri ke dalam satu “mode” yang menjadi kegemaran..”multi-tasking mode.

Allah, semoga dipermudahkan urusan hamba-MU ini. Aku mengharapkan hanya yang terbaik untuk perjuangan kehidupanku. Mudah-mudahan selepas ini, mudah untuk aku berdakwah dan memberi dengan kasih sayang, insya-Allah.

Innallahyuhibbu ahadukum ila a’mila a’malan an yutqinahu

Sesungguhnya Allah suka terhadap hambanya yang melakukan sesuatu usaha dengan tekun (terancang & bersungguh-sungguh) – Maksud Hadith

Rumah oh rumah, dimana engkau rumah?

Wallahua’lam.

Bismillahirrahmanirrahim
Teringat kepada kisah Khabab bin al-Irth, bila mana para sahabat mewakilkan beliau untuk menemui rasulullah yang ketika itu sedang duduk bersandar di Ka’abah. Kata Khabab:

“Wahai utusan Allah, bolehkah engkau mendoakan bagi kebaikan kami?”

Begitulah harapan mereka kerana seksa yang ditanggung lantaran menegakkan agama. Dengan penuh keyakinan kepada Allah, mereka meminta Nabi Muhammad sebagai hamba-Nya yang paling hampir kepada Allah supaya mendoakan mereka terlepas daripada seksaan yang dialami. Tetapi baginda merasakan daripada permintaan ini seperti bunga-bunga kelemahan dan putus asa. Lantas baginda duduk tegak dengan mukanya kemerahan kerana menahan marah lalu berkata

“sesungguhnya para mukmin sebelum kamu disikat daging & matanya dengan besi, tetapi tidak sedikit pun memalingkan daripada agamanya. Ada antara mereka yang dibelah kepalanya dengan gergaji tetapi tidak mengubah agamanya. Demi Allah, sesungguhnya Allah menguji keimanan kamu seorang gembala berjalan dari San’a ke Hadramaut tanpa berasa takut selain hanya kepada Allah sekalipun serigala membaham kambing-kambingnya, tetapi kamu tidak sabar”.

Begitulah antara motivasi yang diberikan oleh rasulullah kepada umat Islam diwaktu awal dakwah di Mekkah. Golongan mukmin ditindas dan dihina, diperlakukan seperti binatang, disakiti dan sebagainya.

Jika dinilai dari realiti masakini, kita melihat penindasan demi penindasan dilakukan ke atas umat islam, negara-negara Islam, mahupun negara yang melabelkan diri mereka sebagai negara islam. Sungguh Islam itu akan tertegak satu hari nanti, tetapi sunnatullah menetapkan untuk Islam itu tertegak, ia perlu ditegakkan oleh umat Islam itu sendiri. Kejayaan Islam itu pasti, namun ianya merupakan kemenangan yang bersyarat.

Seperti mana fitrahnya manusia, kelemahan dan cacat cela itu sudah pasti. Namun ianya bukan satu alasan kukuh untuk menafikan diri daripada tidak terkecuali didalam proses pengislahan & pentarbiyahan. Seharusnya, kerana kekurangan yang ada itulah yang mahu diperbetulkan..kelemahan yang ada itulah yang mahu diperkuatkan. Rasulullah s.a.w mengajar bahawa golongan mukmin itu bersaudara, kita umpama bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain, kita umpama satu jasad yang mana cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.

Itulah pentingnya nilai KESATUAN. Fikrah ISLAM yang kita bawa menjadi aset untuk dikongsikan bersama..untuk disebarkan dan bukannya disimpan bagi kepentingan diri semata. SABAR bukan beerti menjadi mangsa, tetapi sabar itu menyusun strategi bagi mengambil tindakan yang tepat dan jelas bagi kebaikan bersama.

Andai manusia dijadikan ukuran, maka ketahuilah manusia itu punyai kelemahan..andai kelebihan manusia diagung dan dipuja, maka apakah kita bisa menerima kelemahan mereka dengan hati yang terbuka? Mari menilai dari ukuran Al-Quran & Sunnah. Jangan hanya berpandukan hati dan emosi semata kerana hati itu mudah berbolak balik fitrahnya. Bukankah sejarah lalu adalah bicara Allah buat kita?

wallahua’lam

Bismillahirrahmanirrahim.

Kelas pada hari ini berjalan seperti biasa di Sydney. Mengharapkan hari-hari yang mendatang menjadi lebih baik daripada semalam.

Bertemu sebentar dengan seorang sahabat yang berasal dari Australia sebelum ke kelas Thermodynamics, Alex namanya. Sempat bertanya khabar & berbual sementara menunggu kehadiran pensyarah. Tertarik kepada kata-katanya :

“Well Afiq, attitude determines your altitude mate…after all, we have to strive for the best since there will be no second chance after we die”

Sinikal, begitulah selera orang Australia. Lawak mereka sinis, tetapi mereka bangsa yang peramah.

Namun saya tersenyum kerana kata-katanya benar-benar mengetuk minda.

Sukakan kebaikan itu fitrah, kerana ianya mendamaikan. Tanyalah kepada si pengganas bertaraf dunia sekalipun, sukakah dia kepada perasaan tenang? Pastinya jauh dilubuk hati, dia pasti mengatakan “Ya”, walaupun lidah mungkin berat melafazkan lantaran ingin menjaga maruah sebagai seorang pengganas tersohor.

Hanya ada satu makhluk sahaja yang yang fitrahnya bencikan kedamaian, dan sukakan kemaksiatan.Bukan sahaja bencikan kebaikan, malah turut mengajak jiwa yang lain menyertainya

Itulah iblis, si syaitan yang menyesatkan.

Tidak jemu menyesatkan, tidak bosan membisik, tidak gundah menghasut.

Hati yang lembut, cuba dikeraskannya agar betah pada nasihat, jiwa yang dahulunya hidup mati dikerjakannya kerana ketandusan siraman keimanan. Begitulah pekerjaan si makhluk hina . Siang dan malam, “istiqamah” dan komited tanpa henti..terus menghasut dan memburu manusia.

Hairan..Apa dia tiada kerja lainkah?

Tiada,kerana itu janjinya kepada Allah ketika diusir keluar dari syurga. Sifat sombong yang memakan diri, akhirnya menjatuhkan martabat daripada semulia-mulia makhluk kepada sehina-hina makhluk. Allah menngingatkan kita:

“Awas, janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Sesungguhnya syaitan itu menyuruh kamu berbuat buruk dan keji(zina), dan supaya kamu mengatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu sendiri tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 168- 169)

Ibarat musuh yang dibencikan, begitulah hakikatnya syaitan. Liciknya tipu dayanya sehingga menampakkan sesuatu yang haram itu menjadi indah di hadapan mata.

Berwaspadalah wahai kaum muslimin. Sesungguhnya syaitan sentiasa memerhatikanmu, menunggu masa dan mengambil peluang untuk menjeratmu agar jauh sesat daripada jalan Allah.

“Dan inilah jalanKU yang lurus, maka turutilah jalan ini dan janganlah kamu menuruti jalan-jalan selain itu!” (Al-An’am:153)

Tidaklah Imam Ibnu Qayyim Al-Jauzy bersusah payah mengarang kitabnya bertajuk “Talbis Iblis” (Belitan Iblis) melainkan untuk mengingatkan manusia agar tidak menjadi pengikut syaitan!

Terbit persoalan, berapa banyak diri ini menang ketika ber’perang’ dengan syaitan?

Kita mengaku syaitan itu musuh yang nyata, tetapi adakah zahir membenarkan apa yang dilafazkan?

Allah~

Wallahua’lam.

Bismillahirrahmanirrahim.

Setelah hampir setahun ber”kelana” di bumi Australia, akhirnya dikuatkan kembali “semangat” sang kelana untuk menulis.

Mungkin selama ini, sang kelana sibuk memikirkan persiapan untuk “menjadi”, sehingga terabai seketika pada “memberi”.

“Kita bermula dimana kita berada” – seperti mana kisah Khalid Al-Walid yang ditaklifkan menjadi ketua turus angkatan perang sejurus selepas beliau kembali Islam.

Bukanlah ayat itu menafikan tanggungjawab untuk mempersiapkan diri terlebih dahulu sebelum menyampaikan, tetapi sebaliknya merupakan satu bentuk motivasi.

Bagi memahami konsep kehidupan sebagai medan untuk memberi atas landasan kasih sayang sesama insan. Paksinya, menyempurnakan iman..mendamba rahmat dari Ilahi.

Bukankah rasulullah pernah berpesan:

“Tidak sempurna iman seorang kamu selagimana kamu tidak mengasihi saudaramu sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri”

“Menjadi” dan “Mencari”, keduanya bergerak seiring..tiada yang terdahulu, tiada yang terkecuali. Mungkin kerana itu, dahulunya saya berhenti lantaran terlalu memikirkan pada “menjadi”, sebelum bersedia untuk “memberi”.

Semoga usaha ini kembali istiqamah setelah dipertemukan kembali laluan untukku bermula.

InsyaAllah.

“hatiku mekar di musim luruh..”

Wallahua’lam.

Aku buta?

Bismlillahirrahmanirrahim

Saat menulis post ini ketika sedang membuat ulangkaji Algebra dan Calculus bagi menghadapi Peperiksaan Akhir Semester pada hari Rabu ini. Terasa seperti ingin berehat sebentar lalu meng’update’ blog setelah sekian lama terbiar berlalang dan tidak terurus.

Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Masih belum rasa mengantuk dan ingin tidur. Begitu bersemangat menyiapkan beberapa perkara dahulu sementara menantikan masuknya waktu subuh di bumi kangaroo ini.

Sekadar perkongsian, disaat keseorangan di dalam bilik bertemankan siulan cengkerik serta pungguk rindukan bulan, tiba-tiba teringat dan terkenangkan Musolla As-Saad di Kolej Yayasan UEM.

“Musolla As-Saad – Surau yang paling cantik dan tenang di lembah beringin. Sumber ketenangan dan inspirasi. Tempat ukhuwah mula-mula berputik.

Marilah kita bersama-sama memakmurkan rumah Allah ini selagi kita diberikan kesempatan. Tidak rugi kita bersolat jemaah di rumah Allah. Dengan bersolat berjemaah, maka rumah Allah ini menjadi lebih makmur, ukhuwah imaniyah terbina, kepemimpinan umat bertambah jelas, dan syi’ar Islam menjadi nyata dalam kehidupan seharian.

Ibnu Umar r.a. berkata: “Bersabdalah Rasulullah s.a.w. : “Pahala solat jemaah melebihi pahala solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjad”. (HR: Bukhari dan Muslim)”

sumber : www.muscom.iluvislam.com

Membuatkanku terkenang pada tazkirah subuh seorang sahabat yang diberi gelaran “The next Nobel Prize Winner” oleh seorang guru Kimia yang berasal dari Southampton.

Tazkirah subuh – Aktiviti harian di Musolla As-Saad. Alangkah rindunya saat dan ketika itu. Bersama-sama sahabat,berhalaqah dalam satu kumpulan. Mendengar peringatan, meniti pengisian…

Mu’adz, sahabatku…pelajar tajaan Bank Negara dan kini sedang menuntut di Royal College of Surgeon, Ireland dalam bidang perubatan.

Tazkirah subuhnya berbunyi begini :

Pada zaman dahulu, ada seorang wanita tua yang merasakan dirinya selalu ditimpa musibah. Apa yang dibuat semuanya tidak kena. Apa yang dihajatkan semuanya tidak dapat. Asyik gagal sahaja.Sering menyalahkan takdir. Sehingga menganggap dirinya seorang yang Total Failure.

Semasa dia sedang berjalan-jalan di sebuah taman, seorang anak kecil yang comel molek datang menghampirinya membawa sekuntum bunga lalu berkata. “Cantik kan bunga ini?”

Wanita tua itu seakan-akan acuh tidak acuh sahaja dengan kehadiran anak kecil itu. Maklumlah, siapa mahu melayan anak-anak kecil yang secara tiba-tiba datang menghampiri orang dewasa. Tidak setaraf kononnya! Tidak sama standard. Itulah mentaliti sesetengah orang zaman ini. Tidak pernah ingin menghormati atau menyayangi golongan kanak-kanak.

Tetapi wanita itu tetap mempunyai sifat ingin menjawab. Mungkin kerana tidak ingin menghampakan harapan permintaan anak kecil itu. Lalu dia menjawab dengan mudah..

“A’ah, bunga itu cantik nak..”

Mendengar jawapan itu, si snak kecil itu tidak berlalu begitu sahaja. Dia terus membelek-belek bunga tersebut dengan penuh keasyikan dan tersenyum sendirian. Apalagi, si wanita tua itu pasti berasa pelik, hairan, dan musykil.

Kenapa ya….?

Kuasa Allah menentukan segalanya, apabila diamati betul2, rupa-rupanya si anak kecil itu BUTA matanya.

Menyedari hakikat kejadian yang menimpa, wanita itu tersentak lalu bercucuran air matanya. Menginsafi kejadian yang berlaku dan mengaitkan dengan kisah kehidupannya.

Kenapa? Masakan si anak kecil itu tahu bunga itu cantik sedangkan dia tidak dapat melihat? Ini kerana dia sangat yakin dengan apa yang diyakininya, dia sentiasa berfikiran positif dalam hidupnya dan tidak pernah mengeluh. Sungguhpun pandangan matanya gelap,namun terang pada pandangan hatinya. Dia sangat gembira dan ceria. Malah bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Seandainya hendak dibandingkan dengan wanita tua itu, dia masih dikurniakan kehidupan, malah pancaindera yang lengkap untuk terus berusaha dan berusaha sehingga tiba takdir menjemputnya kembali. Wanita itu berjuta-juta kali lebih beruntung daripada si anak kecil itu.

Itu yang membuatkan wanita itu terharu dan tersedar dari lamunan hidupnya yang lalu. Dalam setiap kegelapan yang dirasai, pasti ada sinar cahaya yang menanti. Carilah ia dengan pandangan hati yang tulus, hanya berserah diri kepada Ilahi. Di situ, kita akan menemui kebahagiaan dan ketenangan yang abadi. Sentiasa berfikiran positif dan khusnul Zan (bersangka baik) dengan setiap ujian diberi.

Orang yang berjaya, adalah orang yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat pemberianNya tanpa keluh kesah dan berusaha untuk memperbaiki dirinya.

Tazkirah ringkas Mua’dz membuatkanku tersenyum sendirian.

Benarlah, dengan bersabar, kita perlu redha, hanya dengan itu kita dapat memahami makna sebenar SYUKUR…

56

Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk. (Al-Qashash: 56)

Sekadar coretan ringkas disepertiga malam…

Wallahua’lam

Bismillahirrahmanirrahim

Post kali ini tiada kena mengena dengan kepulangan saya ke Malaysia pada hari Jumaat ini ye..(^_^)y

Sekadar ingin berkongsikan sebuah lagu yang sering dimainkan berulang-ulang kali di playlist saya setiap kali membuat persediaan menjelang Final Exam pada hari RABU ini.

Sebuah lagu terbaru nyanyian UNIC di dalam album terbaru mereka bertajuk Langkah Tercipta.

Bagi mereka yang ingin mendengar atau memuat turun, boleh dapatkannya di applikasi file net sebelah kanan blog ini. Header yang bertajuk ‘Nasheed.’

Berikut, saya sertakan sekali lirik lagu ini. Melodi yang baik dan mood yang mantap. Insya-Allah, dengarlah dengan pendengaran hati..semoga mendapat manfaat. =)

Jalanku Pulang (UNIC)

Tundukku malu didepanMu

kernaku insan berdosa

kuadukan sesalanku apakah kan Kau terima

kesunyian ini sedarkan diriku yang lena

tinggalkan semalam yang nanah

lantas meratap hina kan ku pada sempurnaMu,

terpaut aku tak berpaling

bersyukur hanya padaMu tuhan kau temukan laluan bermula

Dan cintaMu bagai air di tandus sahara  yang melepas dahaga

suburkan cahaya menerangi langkahku

semaikan segala hiasan indah cintaMu

ku mohon kau tenangkan resah hatiku yang rawan

bimbang Kau singkirkan taubatku

kurayu Kau hulurkan keampunanMu padaku

kelakku zalimi diriku

Janjiku padaMu abdikan seluruh jiwa

sehingga masanya kau seru hujung nyawaku

Tak jemu dimanakah hentinya rayuan taubatku padaMu

Wallahua’lam

Bismillahirrahmanirrahim

Putaran roda kehidupan.Silih berganti meniti puncak. Pasang surut perjuangan, itulah lumrah kehidupan.Kesepian ketika berjuang, sedih lantaran kegagalan,sayu kerana ditinggalkan, begitulah lemahnya fitrah seorang insan. Mendambakan hadirnya kekuatan, hati yang lara ingin dipujuk oleh bicara dari Tuhan…

Pernah hatiku kelukaan,
kecewa kehampaan,
mencalar ketabahan,
impian yang seringku harapkan menjadi kenyataan
namun adakalanya tak kesampaian,

Allah…
Pernah inginku hentikan langkah ini
bagaikan tak mampu untuk ku bertahan
semangat yang tenggelam,
lemah daya,
haruskah aku mengelamun jiwa
ku berbisik inikah dugaan

Akhirnya kan mataku kini terbuka
pada hikmah dugaan uji keimanan
tak dilontarkannya ujian diluar kekuatan setiap diri insan

Allah…
pimpini diriku,
agar bangkit semula meneruskan langkah perjuangan ini
cekalkan hati dan semangatku
kurniakan ketabahan
agar mimpi jadi nyata..
padaMu ku meminta

“Aku pernah ditakdirkan berjuang sendirian untuk sekalian lamanya. Sehingga minda dan jiwa ini menyatakan bahawa aku akan terus sendirian untuk selama-lamanya.Tawa tangis ku hanya Tuhan saja yang tahu. Menyeberangi lautan yang tak bertepi dan dihempas badai bagai tiada belas kasihan. Namun kehadiranmu di dalam bahtera perjuangan bagaikan meringankan galas beban yang tersangkut di bahu selama ini. Dengan takdirnya kita telah bergerak dan terus mara ke arah destinasi yang kita impikan dengan segala kepayahan, bersama. Dan kini, jerih perihnya mula terasa. Kita harus terus bersama untuk mengejar mimpi yang masih belum direalisasi. Nun, jauh di sana ada tangan yang tergapai memohon simpati, dan sedia menanti… ”

Wallahua’lam

« Newer Posts - Older Posts »