Bismillahirrahmanirrahim
Dalam kehidupan ini, kebanyakan manusia takutkan kesusahan dan ujian. Mereka takut miskin. Mereka
takut jadi susah. Mereka takut jatuh sakit. Mereka takut kehilangan harta benda. Mereka takut turun pangkat atau hilang jawatan. Mereka takut dihina. Mereka takut dipulaukan dan sebagainya. Kalau boleh, manusia ingin selalu senang, kaya, sihat, tidak diganggu atau dizalimi dan sentiasa hidup dalam
keadaan tenang, aman, damai dan harmoni.
Namun, hidup di dunia tidak akan sunyi dari ujian dan kesusahan. Selagi dunia bernama dunia, ujian dan kesusahan akan tetap ada. Ia adalah adat dan resam hidup. Hadith ada menyebut:
Maksudnya: “Dunia itu negara bala’ dan ujian”.
Sebenarnya, yang benci dan takutkan kesusahan dan ujian itu ialah nafsu. Nafsu tidak suka pada kesusahan. Nafsu tidak suka pada ujian, pada lapar dan dahaga, pada kemiskinan, pada
kemelaratan, pada sakit, pada mujahadah, dan pada apa sahaja yang tidak sesuai dengan kehendak dan keinginannya.
Nafsu sebenarnya lebih jahat dan berbahaya dari syaitan. Syaitan boleh dihalau tetapi nafsu berada dalam diri kita. Nafsu adalah jalan bagi syaitan. Kalau nafsu kita terdidik, maka sempitlah
jalan syaitan untuk menggoda dan menipu kita. Tetapi kalau nafsu tidak terdidik, maka luaslah jalan syaitan.
Hendak mendidik nafsu bukan mudah. Nafsu pernah angkuh dan sombong dengan Tuhan. Dia pernah berkata pada Tuhan:
“Engkau-engkau, aku-aku.”
Dia pernah direjam seribu tahun dalam neraka. Nafsu hanya takut dengan Tuhan. Dia tidak takut
dengan makhluk.Oleh itu, hendak mendidik nafsu, kita perlu ada rasa cinta dan takut dengan Tuhan. Kita perlu bersandar kepada kehebatan dan kekuasaan Tuhan. Kalau rasa-rasa ini tidak ada, maka tidak
ada apa yang akan dapat mendorong dan menahan atau menghalang nafsu. Rasa cinta pada Tuhan itu akan mendorong nafsu supaya menjadi tenang dan jinak. Rasa takut dengan Tuhan pula akan menahan nafsu dari menjadi terlalu rakus, liar dan tidak terkawal.
Nafsu kalau tidak dididik, diuji, ditekan, dikekang dan disakitkan, dia akan berbunga. Kemudian dia akan berbuah. Buah nafsu ialah segala sifat-sifat keji dan mazmumah seperti sombong, angkuh, megah, riak, pemarah, jahat sangka, tamak, hasad dengki, panas baran, bakhil dan lain-lain lagi.
Kalau tidak ada ujian dalam hidup, nafsu akan jadi subur dan iman akan jadi lemah. Iman hanya akan meningkat dan nafsu hanya akan tunduk melalui ujian dan kesusahan. Itulah hikmah
Tuhan datangkan ujian. Untuk menyuburkan iman dan melemahkan nafsu. Jelas bahawa ujian itu adalah tanda kasih sayang Tuhan.
Allah SWT ada berfirman:
Maksudnya: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan berkata: ‘Kami telah beriman,’ sedang
kamu tidak diuji lagi.” (Al-Ankabut: 2)
Pada hakikatnya, tidak ada ujian yang berat ataupun ringan.Yang ada hanyalah kuat atau lemahnya hubungan kita dengan Tuhan. Orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, ujian yang berat dirasakan ringan. Orang yang lemah hubungannya dengan Tuhan, ujian yang ringan pun terasa berat.
Oleh itu, kalau kita diuji, itu tanda Tuhan telah meletakkan kita di atas jalan menuju ke syurga. Kita patut banyak bersyukur. Kalau Tuhan biarkan kita lalai dan berfoya-foya dan bergelumang dengan dosa dan noda, itu tanda kita sedang berada di atas jalan menuju ke neraka. Kita patut cepat-cepat sedar dan
bertaubat.
Orang-orang soleh, kalau diuji, mereka sabar dan tidak mengadu. Sabar itu sudah tentu ada sakitnya. Orang-orang muqorrobbin (yang hampir dengan Tuhan), kalau diuji mereka redha. Redha itu kurang sakitnya kerana ada rasa kerelaan dan kepuasan. Orang-orang siddiqin (yang benar) pula merasa bahagia
dan terhibur dengan ujian. Itulah makanan bagi jiwa
mereka.
Kalau nafsu sangat benci pada ujian dan kesusahan, fitrah pula sebaliknya. Fitrah sangat ingin rasa bertuhan dan suka bersusah-susah kerana Tuhan.
Leave a comment