Assalamualaikum.
Sudah menjadi satu kebiasaan kita menyambut peristiwa yang diraikan sekali dalam setahun.Hari Kemerdekaan, Hari Guru, Hari Bapa, Hari Jadi, dan bermacam-macam hari lagi. Tidak dilupakan peristiwa yang berkala dan bermusim, contohnya musim bola sepak Piala Dunia yang diadakan sekali dalam masa 4 tahun.
Namun, kedatangan musim yang bakal tiba ini bukan sembarangan. Ianya musim yang penuh barakah dan rahmah. Ramai orang memanggilnya pesta ibadah oleh kerana limpahan rahmat yang Allah berikan buat mereka yang berlumba-lumba melakukan ibadah. Setiap amalan yang dilakukan dibalas dengan berkali ganda kebaikan.
Itulah dia musim berpuasa, bulan Ramadhan Al-Kareem.
Namun, saya senang menganggapnya sebagai “Madrasah Tarbiyah”…
Umpama sebuah institusi pendidikan, madrasah, berfungsi untuk mendidik pelajar agar tercapai objektif ditubuhkan institusi tersebut. Sekolah aliran sains, sekolah aliran sastera, mahupun sekolah alirann agama, semuanya mempunyai objektif untuk melahirkan graduan yang berkualiti tinggi, selaras dengan bidang pengajian.
Madrasah Tarbiyah ramadhan itu hadir bagi mendidik jiwa, membentuk peribadi mulia, mentautkan hati kepada Pencipta, mengembalikan diri kepada fitrah..
Saban tahun, kita mempunyai azam tahun baru, dan saban tahun juga kita mempunyai azam ramadhan. Pastinya untuk menjadikan ramadhan kali ini lebih bermakna berbanding tahun-tahun lalu. Dengan usia yang makin bertambah, semakin mendekati kematian, semakin matang dalam pemikiran, semakin mencabar menghadapi kehidupan, adalah perlu untuk kita mempersiapkan diri dengan sebanyak ilmu & amal.
“Ilmu itu jika disertai rasa takut kepada Allah, maka itu yang menguntungkan bagimu, jika tidak maka itu bahaya bagimu..”
Ungkapan yang dipetik daripada Syeikh Ibnu Athoillah dalam kitab Al-Hikam.Cukup menjelaskan betapa indikator untuk menentukan sejauh mana keberkatan ilmu yang dimiliki, adalah berdasarkan amalan.
Bagaimana denganmu Ramadhan? Adakah segunung ilmu yang dimiliki cukup untuk menghayati maksud ramadhan? Di kala kita menahan pancaindera dan mengekang nafsu daripada kembali kepada “fitrah yang songsang”?
Gunakanlah kesempatan ini dengan sebaiknya…inilah peluang untuk kembali memperbaiki diri, agar tamatnya pengajian kita di madrasah ramadhan disertai dengan keputusan yang cemerlang. Lebih hebat daripada 1st Class honour. 1st Class Honur di sisi Allah..InsyaAllah..
Beribadah bukan sekadar pada Ramadhan semata-mata,beribadah itu sepanjang masa dan zaman.. jangan hanya semasa Ramadhan ibadah kita lebat, seusai ramadhan ibadah kita tersekat..inilah bulan pemangkin jiwa, penguat rohani, bulan yang diberikan Allah khusus buat HambaNya yang beriman..
Salam Ramadhan Al-Kareem buat semua!!
Wallahua’lam.
Leave a comment