Feeds:
Posts
Comments

Archive for July 14th, 2010

Bismillahirrahmanirrahim

Pertama sekali, ucapan maaf ditujukan buat seorang sahabat atas kelewatan mengeluarkan entri ini kerana beberapa masalah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus bergelut dengan masalah, akhirnya dipertemukan juga jalan penyelesaiannya.
Saya ingin mengulas sebuah rancangan radio saya dengar baru-baru ini, rancangan bertajuk ‘Duniaku Buku’ yang ke udara di stesen IKIM.FM. Perbincangan yang saya rasa amat signifikan kerana isu ini nampak kecil, tetapi kesanya amat besar khususnya dalam keberkesanan penyampaian dakwah.

Sebelum itu, saya ingin lontarkan senario masyarakat sepertimana yang dikatakan oleh Ustaz Zawawi untuk sama-sama kita fahami :

“ Masyarakat kita seandainya diberikan 50 ringgit, kemudian diminta untuk memulangkan semula duit itu, yang dipulangkan tidak pernah akan terlebih menjadi 60 ringgit. Kebiasaannya akan berkurang. Akan tetapi andai diberikan kepada mereka satu berita, kebiasaannya berita itu akan bertambah daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Tidak pernah pula akan berkurang…jarang pula tiada perubahan ”

Walaupun senario di atas boleh dipertikaikan kesahihannya, namun dari segi mesej yang ingin disampaikan jelas, bahawa terdapat sesetengah di antara kita yang suka mencari modal murahan.Maksud saya, menambah-nambah sesuatu berita yang didengari agar berita itu menjadi lebih hangat dan sensasi, mungkin juga kerana ada agenda yang tersendiri. Contoh yang paling mudah, kita lihat bagaimana dunia hiburan yang tidak pernah lekang daripada gosip dan kisah-kisah hangat sepertimana yang terpampang di dada-dada akhbar mahupu internet. Sesetengah daripadanya mungkin betul, sesetengah daripadanya mungkin tidak, malah mungkin terdapat elemen-elemen tambahan yang sengaja direka-reka. Gramatis, dramatis, suspens dan sebagainya. Itu adalah contoh mudah bagaimana kita ingin mengaitkan realiti sebenar budaya ‘tambah-mebambah’ dikalangan masyarakat. Namun tidak dnafikan, kisah-kisah lagenda,penglipur lara misalnya mempunyai unsur-unsur ‘tambahan’ .Cerita-cerita ini disampaikan secara turun temurun, daripada mulut ke mulut, tiada catatan mahupun rekod yang sahih. Maka tidak mustahil apa yang kita terima sekarang, mungkin berbeza dengan apa yang sebenarnya terjadi.

Apa yang dirisaukan, seandainya budaya ini turut diamalkan oleh golongan-golongan pendakwah bagi meyampaikan kalimah Allah dimuka bumi. Maka seharusnya mesej yang ingin disampaikan perlu bersumberkan daripada sumber-sumber yang sahih, tidak lebih dan tidak kurang daripada yang asli. Tidak kira samada berdakwah melalui bidang penulisan, hiburan,lakonan, ceramah dan seumpamanya, perkara pokok yang perlu kita ambil perhatian adalah daripada mana kita dapatkan maklumat tersebut. Adakah melalui sumber yang terbukti sahih? atau adakah daripada sumber yang diragui kesahihannya? atau adakah daripada sumber-sumber yang sengaja direka oleh musuh-musuh islam untuk menjatuhkan umat islam. Ini adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat.

Antara contoh yang paling mudah adalah dalam penyampaian sirah dan hadith. Oleh kerana kita tidak berada dizaman ketika mana Rasulullah masih hidup, amat sukar untuk kita mengetahui bagaimana sebenarnya gaya hidup yang diamalkan oleh rasulullah. Oleh sebab itu, sumber rujukan yang kita gunakan untuk mengetahui perkara ini sudah tentulah daripada Al-Quran serta hadith-hadith yang Sahih. Tanpanya, sudah tentu sukar untuk kita membayangkan bagaimana keadannya bukan? Realitinya, buku-buku mahupun artikel-artikel bertemakan sirah begitu banyak sekali dipasaran,namun sebagai seorang yang cintakan rasulullah, kita harus pastikan bahawa kisah-kisah yang disampaikan merujuk kepada sumber-sumber atau sanad yang sahih. Hal ini kerana di zaman ini, begitu banyak sekali kisah-kisah yang kononnya dikatakan sirah, tetapi apabila disemak, mengandungi unsur-unsur tambahan. Misalnya hujah – hujah diambil daripada hadith-hadith maudu’,ataupun hadith-hadith yang tidak disertakan sekali sanadnya, diselitkan pula dengan kisah-kisah isra’iliyat – kisah-kisah yang direka oleh orang yahudi untuk kepentingan mereka sendiri, bukan kisah benar..serta bermacam-macam lagi.

Cuba fikirkan, apa salahnya jika kita terpaksa mengambil masa yang lama dalam mencari kebenaran sesuatu maklumat seandainya kita yakin ilmu yang bakal diperoleh itu benar-benar sahih dan tepat, bukankah itu lebih utama? Manfaatnya dapat dikongsi bersama. Berbanding jika terus mempercayai sesuatu yang belum sahih kebenarannya secara membuta tuli lalu terus disampaikan kepada orang lain tanpa memikirkan kesannya. Bukankah ianya seolah-olah menyebarkan berita palsu? Apa akan terjadi jika ‘dakyah’ kita itu tiba-tiba tersebar luas. Siapakah yang harus bertanggungjawab? Maka, berhati-hatilah dalam menulis dan memahami sesuatu penulisan. Untuk sesuatu ilmu itu bermanfaat dan menjadi bekalan di alam barzakh kelak, sudah tentu ianya perlu diperoleh daripada sumber yang sahih dan benar. Seelok-eloknya, belilah buku-buku rujukan daripada kalangan para ulama’ muktabar agar kita mempunyai rujukan seandainya berlaku kekeliruan dalam sesuatu perkara.

Paling menakutkan andai para daie meletakkan emosi melebihi akal dalam penyampaian. Dikhuatiri akan wujudnya unsur ‘Lebih-lebih’ atau dalam bahasa inggeris disebut ‘exaggeration’. Mungkin kerana terlalu menghayati serta beremosi ketika menyampaikan sesuatu, secara tidak langsung menambahkan unsur-unsur atau kisah-kisah yang selari dengan emosi dan perasaannya ketika itu sedangkan pada asalnya mengikut sumber yang sahih, perkara yang terjadi tidaklah ‘sedahyat/sehebat’ seperti mana yang digambarkan. Sebab itu pentingnya kita untuk tidak mengikut emosi. Andai terlalu mengikut emosi, nafsu akan mula merajai diri. Sehingga ke satu tahap, kita rasa apa yang kita sampaikan adalah betul. Janganlah sehingga menghalalkan sesuatu yang haram semata-mata kerana ingin mengatakan tindakan kita betul. Jangan sehingga berlaku unsur fitna atau penipuan semata-mata kerana ingin menarik perhatian ramai. Salah tindakan itu. Malah boleh menimbulkan perpecahan. Justeru, bertindaklah dengan akal yang waras, bukan dari emosi yang membara dan tidak berpandu kepada petunjuk ilahi. Emosi boleh dijadikan ‘driving force’ dalam tarbiyah, namun emosi bukanlah sandaran utama. Yang penting akal yang berdasarkan wahyu ilahi.

Kesimpulannya, berhati-hatilah dalam menerima, mentafsir, serta menyampaikan maklumat. Lebih-lebih lagi maklumat yang berkaitan dengan isu-isu akidah, hadith nabi, hukum dan sebagainya. Perlunya kita untuk memastikan sesuatu maklumat itu sahih sebelum disampaikan kepada orang lain supaya tidak berlaku masalah nanti. Berhati-hatilah dalam berbicara, elakkan daripada mengumpat dan memfitnah kerana amalan itu bukan sahaja membawa kepada pergaduhan, permusuhan, serta perbalahan dikalngan masyarakat, malah sangat dicerca oleh Allah.

Nabi Muhammad saw termasuk orang yang sangat jarang berbicara, tetapi setiap kali berbicara pasti dipastikan kebenarannya. Setiap butir kata bagai untaian mutiara yang indah, berharga, bermanfaat. Bahkan bisa menembus, menggugah, menghujam, dan memiliki daya ubah hingga menjadi kebaikan bagi sesiapa pun yang mendengarnya. Mulut kita ini seperti corong teko. Teko hanya akan mengeluarkan isi yang ada. Kalau di dalamnya air bersih, yang keluar bersih. Kalau di dalamnya air kotor, yang keluar pun kotoran. Kerana itu bila kita ingin mengetahui darjat seseorang, lihatlah dari apa yang diucapkan dan dilakukannya.

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar. (QS Al Ahzab [33]:70)

Rasulullah saw bersabda, “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia mengatakan yang baik atau diam”. Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

”Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian lain. (Kerana) bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan bagi wanita pun ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. Dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (An-Nisaa: 32)

Wallahua’lam

Read Full Post »