Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘tazkirah’ Category

Assalamualaikum.

Sudah menjadi satu kebiasaan kita menyambut peristiwa yang diraikan sekali dalam setahun.Hari Kemerdekaan, Hari Guru, Hari Bapa, Hari Jadi, dan bermacam-macam hari lagi. Tidak dilupakan peristiwa yang berkala dan bermusim, contohnya musim bola sepak Piala Dunia yang diadakan sekali dalam masa 4 tahun.

Namun, kedatangan musim yang bakal tiba ini bukan sembarangan. Ianya musim yang penuh barakah dan rahmah. Ramai orang memanggilnya pesta ibadah oleh kerana limpahan rahmat yang Allah berikan buat mereka yang berlumba-lumba melakukan ibadah. Setiap amalan yang dilakukan dibalas dengan berkali ganda kebaikan.

Itulah dia musim berpuasa, bulan Ramadhan Al-Kareem.

Namun, saya senang menganggapnya sebagai “Madrasah Tarbiyah”…

Umpama sebuah institusi pendidikan, madrasah, berfungsi untuk mendidik pelajar agar tercapai objektif ditubuhkan institusi tersebut. Sekolah aliran sains, sekolah aliran sastera, mahupun sekolah alirann agama, semuanya mempunyai objektif untuk melahirkan graduan yang berkualiti tinggi, selaras dengan bidang pengajian.

Madrasah Tarbiyah ramadhan itu hadir bagi mendidik jiwa, membentuk peribadi mulia, mentautkan hati kepada Pencipta, mengembalikan diri kepada fitrah..

Saban tahun, kita mempunyai azam tahun baru, dan saban tahun juga kita mempunyai azam ramadhan. Pastinya untuk menjadikan ramadhan kali ini lebih bermakna berbanding tahun-tahun lalu. Dengan usia yang makin bertambah, semakin mendekati kematian, semakin matang dalam pemikiran, semakin mencabar menghadapi kehidupan, adalah perlu untuk kita mempersiapkan diri dengan sebanyak ilmu & amal.

“Ilmu itu jika disertai rasa takut kepada Allah, maka itu yang menguntungkan bagimu, jika tidak maka itu bahaya bagimu..”

Ungkapan yang dipetik daripada Syeikh Ibnu Athoillah dalam kitab Al-Hikam.Cukup menjelaskan betapa indikator untuk menentukan sejauh mana keberkatan ilmu yang dimiliki, adalah berdasarkan amalan.

Bagaimana denganmu Ramadhan? Adakah segunung ilmu yang dimiliki cukup untuk menghayati maksud ramadhan? Di kala kita menahan pancaindera dan mengekang nafsu daripada kembali kepada “fitrah yang songsang”?

Gunakanlah kesempatan ini dengan sebaiknya…inilah peluang untuk kembali memperbaiki diri, agar tamatnya pengajian kita di madrasah ramadhan disertai dengan keputusan yang cemerlang. Lebih hebat daripada 1st Class honour. 1st Class Honur di sisi Allah..InsyaAllah..

Beribadah bukan sekadar pada Ramadhan semata-mata,beribadah itu sepanjang masa dan zaman.. jangan hanya semasa Ramadhan ibadah kita lebat, seusai ramadhan ibadah kita tersekat..inilah bulan pemangkin jiwa, penguat rohani, bulan yang diberikan Allah khusus buat HambaNya yang beriman..

Salam Ramadhan Al-Kareem buat semua!!

Wallahua’lam.

Read Full Post »

Bismillahirrahmanirrahim.

Cuaca yang dingin di Sydney sore itu mendamaikan.  Kelihatan dua orang sahabat sebaya, Kazuya & Kazama sedang menghirup udara segar sambil dua gelas “Hot Chocolate” tersedia di atas meja putih dibelakang halaman rumah.

Sambil bersandar di atas kerusi plastik empuk yang dibeli dari IKEA Homebush, Kazama yang sedang tersenyum sendirian mula berbicara..

“Kazaya, katakan satu hari kau nak beli ayam kat kawasan Kingsford. Kedai ayam ada dua sahaja. Ayam kat John’s Butcher lagi murah dari ayam kat TJ Brothers..bukan sebarangan murah tau, dalam 70% diskaun kau dapat..agak-agak ayam mana yang kau nak beli?” duga Kazaya.

Kazaya yang sedikit terganggu konsentrasinya ketika menikmati pemandangan indah halaman rumah 75, Eastern Avenue yang dihisai kerlipan bunga tulip lantas menjawab

“Ah, sudah tentulah aku beli yang murah..dapat jimat..tak kisah la ayam tu kualiti macam mana, asal boleh makan”.

Sambil tersenyum, agaknya itulah jawapan yang diduga oleh Kazama. Lantas dia menjawab tenang.

“Walaupun ayam di John’s Butcher tu tak disembelih manakala ayam di TJ Brothers tu ayam sembelih? Kau tetap nak beli yang murah dan tak halal juga?”, tenang dan tersusun jawapanya..cuba menimbulkan sedikit provokasi dan tidak reaktif dengan jawapan yang diberikan kazaya.

“urm, tapi kita boleh makan makanan ahli kitab kan?”, kazaya cuba menjustifikasi.

“ada ke ahli kitab sekarang nie? dan pengusaha John’s Butcher boleh berikan kepastian berkenaan dengan tukang sembelih ayam mereka ahli kitab?”, kazama mula berhujah tenang.

“Urm, entahlah Kazama…err, kalau darurat takpe kan?”, sekali lagi Kazaya cuba berhujah.

Tersenyum Kazama melihat Kazaya. Lantas dalam hatinya berdoa semoga Allah melimpahkan rahmat & ilmu pengetahuan yang haq ke dalam hati sahabat baiknya itu. Tanpa basa-basi lagi, Kazama memulakan dakwahnya.

“Kazaya, meh aku ceritakan satu peristiwa yang berlaku di zaman rasulullah s.a.w nak?”

“Nak2”, balas kazaya umpama bayi kecil yang mahu diusapkan puting ke dalam mulutnya, begitu bersemangat sekali kazaya dalam mendengar cerita.

“satu hari, ketika mana rasulullah s.a.w mengeluarkan arahan berperang di Tabuk, para sahabat menghadapi konflik antara pergi berperang atau berniaga kerana ketika itu musim Soifiyn (panas), musim yang mana perniagaan berkembang pesat dan maju, hasil-hasil tanaman dan ternakan yang biak, pedagang-pedagang ramai yang datang…tengah-tengah bisness nak maju, tiba-tiba keluar arahan pergi berperang yang mana belum tentu akan kembali dengan selamat atau tidak..dahla jauh pula tu Tabuk dari madinah”, Kazama mula bercerita.

“Urm, analoginya sekarang macam kita yang sedang sibuk uruskan perniagaan berbilion2 ringgit dengan seorang klien, tiba-tiba ada orang ajak kita pergi solat berjemaah?, macam tu ke Kazama?”, Kazuya cuba beranalogi untuk menunjukkan kefahamanya selepas mengikuti usrah bersama Kazama.

“Tepat sekali”, jawab Kazama tersenyum.

“Tahu apa yang para sahabat lakukan? Mereka tinggalkan perniagaan mereka walaupun mereka kekurangan duit. Tahu dari mana mereka dapat duit? Daripada perniagaan mereka pada musim itu. Lantas pergi berperang di Tabuk yang jarak perjalanan dari Madinah ke Tabuk mengambil masa selama satu hari kalau naik bas. Para sahabat dulu mana ada bas,mereka menaiki unta..ditambah dengan musim panas lagi. Agak2 sekarang ini, sanggup tak kita lakukan sebagaimana para sahabat lakukan ketika itu?” soal Kazama, sekali lagi menimbulkan provokasi.

“Alhamdulillah, kerana niat yang ikhlas dalam menegakkan islam, Allah kurniakan mukjizat ke atas rasulullah s.a.w. Kalau ikut sirah, banyak sekali mukjizat yang mucul. Antaranya air keluar dari celah2 jari rasulullah s.a.w, makanan yang sikit, dikumpul2 dalam kain akhirnya jadi banyak, dan bermacam-macam lagi. Mukjizat yang paling besar, bilamana Allah memberikan kemenangan kepada umat islam dalam perang Tabuk. Musuh lari bertempiaran sebelum tentera islam tiba sambil meninggalkan harta-harta perang mereka. Alhamdulillah,lihat.. Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih baik kepada kaum muslimin”

“Subhanallah…”, terpacul kalimah suci itu daripada mulut Kazaya.

“Para sahabat sanggup meninggalkan perniagaan mereka kerana mereka telah dididik oleh rasulullah s.a.w untuk sentiasa menjaga kepentingan Allah sebagai yang utama. Dalam kehidupan, redha Allah menjadi satu yang kita mahukan. Alangkah ruginya kalau kita berbuat satu kebaikan, namun Allah tak redha di atas kebaikan tersebut. Di akhirat nanti akan dicampakkan amalan tersebut ke muka kita..itu amalan baik, macam mana pula dengan amalan yang tak baik? Amalan yang bercampur dengan sumber yang haram? Agak-agak Allah nak redha ke atas diri kita atau tidak?”, tenang kata-kata Kazama. Mempraktikkan hikmah dalam berdakwah.

Sambil tersenyum, Kazama menghabiskan kata-katanya

“Sahabatku, jom kita cari keredhaan Allah dalam setiap amalan kita. Jangan kita bunuh roh keredhaan Allah semata-mata kerana ingin menjaga kepentingan harta dunia. Bukankah Allah telah berjanji untuk memberikan bantuan dan nikmat yang melimpah ruah buat hambaNya yang sentiasa berpegang teguh dengan tali Allah?”.

Kazaya terkedu, tunduk dan diam seribu bahasa. Wajahnya terpamir sedikit kesalan..namun jauh dilubuk hatinya berbunga-bunga kegembiraan kerana telah mempelajari sesuatu yang berharga petang itu. Dia akhirnya tersenyum sipu sambil berkata:

“Ha ah, betul tu Kazama..tiba-tiba aku teringat kat ayat yang selalu kau baca dulu setiap kali usrah..”

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (ath-Thalaq, 65: 2-3)

“Haa, betul tu Kazaya..sedap maksud tu..yang penting kene berTAQWA, kena beramal dengan amalan-amalan Islam..”, sebelum Kazama menyambung, Kazaya lantas mencelah

“Jangan sekadar gantung aje buat perhiasan rumah..dah jadi adat melayu kita lah nie..ish2..” sinis Kazaya. Tersenyum sambil mengeleng-gelengkan kepala.

Mereka berdua tersenyum bersama. Sambil minda mula ligat berfikir tentang adat-adat dan kepercayaan Melayu yang karut untuk dibincangkan kemudian.

Wallahua’lam.

Read Full Post »

Siapa yang tewas?

Bismillahirrahmanirrahim.

“Afiq, jom la tengok bola pagi ini..final champions league, Man Utd lawan Barcelona”, ajak salah seorang temanku.

“Jom, dah lama juga tak tengok champions league..maklumlah, sejak kaki sakit nie dah lama tak turun padang..teringin juga nak tengok..pukul berapa tu?”, balasku bersahaja.

“4.45 pagi waktu Sydney”, ringkas jawapanya.

“Hurm, okay InsyaAllah..”, aku tersenyum sambil minda ligat berfikir…

BOLA SEPAK – Sebuah sukan yang sangat popular pada masa ini. Boleh dikategorikan antara sukan yang “cantik” dan “memukau” manusia terutama kepada kaki-kaki bola.

Tengok sahaja kelibat2 pemain handalan di padang…Persis sebuah orkestra yang memainkan lagu indah. Sekiranya “menjadi” taktik dan strategi, maka sedap dan cantiklah corak permainan. Sekiranya tidak, lain pula jadinya. Bosan juga melihat permainan yang berentak perlahan, tiada stamina, tidak konsisten, dan tidak “cantik”.

Semoga mutu permainan bola sepak negara Malaysia tercinta dijauhkan daripada bencana itu..amin.

Subhanallah, sejenak terfikir betapa hebatnya ciptaan Allah. Betapa besarnya anugerah Allah kepada kita. Kebolehan untuk menggelecek di padang, tandukan sambil terbang, rembatan kencang, swinger, dan sebagainya. Jelas menunjukkan betapa hebatnya Tuhan yang menciptakan. Dari mana datangnya kualiti itu kalau bukan dari latihan? Dari mana datangnya latihan kalau tiada keinginan untuk berlatih? Dan dari mana datangnya keinginan kalau tiada tubuh badan yang sihat sempurna untuk bermain..Allah~

sl_01.1

Akal mencetus TAHU, hati menyemai MAHU, diri mendepani latihan agar MAMPU.

Sejak kecil lagi aku amat meminati permainan ini. Salah satu daripada sukan kegemaranku selain kriket. Tetapi, sejak kecederaan ligamen yang dihadapi beberapa tahun yang lalu (juga disebabkan bola), minatku kini hanya dapat dizahirkan di depan kaca televisyen sahaja. Tidak mampu lagi berada di suasana “padang”.

Ramainya orang sanggup “berjaga malam” untuk menyaksikan perlawanan bola sepak. Tidak dilupakan, ramainya orang yang sanggup “bangun awal” semata-mata ingin menonton perlawanan bola sepak.

Bagi yang “fanatik bola”, sanggup bersengkang mata sabar setia menanti walaupun dirinya ada kelas atau kerja di awal pagi.

Hebat sungguh penangan bola.

Semuanya berbalik kepada satu persoalan pokok, mengapa kita sanggup berbuat begitu?

“Kepuasan” – itu antara asbab yang dapat difikirkan buat masa ini.

Mengapa puas? Kerana dapat melihat kepada keputusan end-result dengan segera.

Persoalan yang sering dilontarkan kepada saya, mengapa amat sedikit mereka yang bangun mendirikan solat malam, mahupun solat subuh secara berjemaah?

Jawapan mudah, kerana tidak dapat melihat end-result dengan segera. Hanya percaya, tetapi tidak yakin.

Percaya syurga itu ada, tetapi tidak yakin, maka tindakan tidak berusaha untuk mendapatkan.

Aduhai jiwa, bukankah rasulullah pernah berpesan:

“Seandainya golongan kafir mengetahui ganjaran yang diberikan kepada mereka yang bersolat subuh secara berjemaah, nescaya mereka pasti akan menghadirinya walaupun terpaksa merangkak” – Sanad yang baik.

Tanyalah pada diri, bagaimana keadaan kita? Seandainya kita sanggup bangun malam untuk menonton perlawanan bola sepak, mengapa kita tidak mampu untuk ber”Qiamullail” mahupun solat subuh secara berjemaah?.

Bola Sepak itu melalaikan andai kita tidak meletakkan Allah sebagai matlamat. Tiada masalah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di awal pagi. Seandainya itu boleh, maka seharusnya tidak lagi menjadi alasan untuk tidak bangun ber”qiamullail” mahupun solat subuh.

Time tengok bola, bersemangat bangun..time solat subuh atau qiamullail,,Allah..liat pula nak bangun. Hairan?

Sedangkan aktiviti itu berlangsung pada waktu dan masa yang hampir sama.

Iman itu asas taqwa. Muhasabah diri kembali untuk “check & balance” iman kita. Sesuatu perlu dilakukan agar kita tidak menjadi mereka yang tertewas dengan kehidupan didunia.

Kita mungkin sedih di “sini” kerana pasukan pilihan kita tewas, tetapi kesedihan di”sana” lebih sengsara seandainya diri kita sendiri yang tewas. Lebur solat subuh, hancur solat tahajud..Allah~

Tewas dalam perlawanan antara iman dan syaitan.

Semoga kita tergolong dikalangan hambaNya yang berjaya. Ameen.

Wallahua’lam.

p/s: Tahniah Barcelona, permainan anda memang cantik! You deserve to win the match! Buat penyokong Man Utd, sabarlah..langit tak selalunya cerah… =)

Read Full Post »

Aku buta?

Bismlillahirrahmanirrahim

Saat menulis post ini ketika sedang membuat ulangkaji Algebra dan Calculus bagi menghadapi Peperiksaan Akhir Semester pada hari Rabu ini. Terasa seperti ingin berehat sebentar lalu meng’update’ blog setelah sekian lama terbiar berlalang dan tidak terurus.

Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Masih belum rasa mengantuk dan ingin tidur. Begitu bersemangat menyiapkan beberapa perkara dahulu sementara menantikan masuknya waktu subuh di bumi kangaroo ini.

Sekadar perkongsian, disaat keseorangan di dalam bilik bertemankan siulan cengkerik serta pungguk rindukan bulan, tiba-tiba teringat dan terkenangkan Musolla As-Saad di Kolej Yayasan UEM.

“Musolla As-Saad – Surau yang paling cantik dan tenang di lembah beringin. Sumber ketenangan dan inspirasi. Tempat ukhuwah mula-mula berputik.

Marilah kita bersama-sama memakmurkan rumah Allah ini selagi kita diberikan kesempatan. Tidak rugi kita bersolat jemaah di rumah Allah. Dengan bersolat berjemaah, maka rumah Allah ini menjadi lebih makmur, ukhuwah imaniyah terbina, kepemimpinan umat bertambah jelas, dan syi’ar Islam menjadi nyata dalam kehidupan seharian.

Ibnu Umar r.a. berkata: “Bersabdalah Rasulullah s.a.w. : “Pahala solat jemaah melebihi pahala solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjad”. (HR: Bukhari dan Muslim)”

sumber : www.muscom.iluvislam.com

Membuatkanku terkenang pada tazkirah subuh seorang sahabat yang diberi gelaran “The next Nobel Prize Winner” oleh seorang guru Kimia yang berasal dari Southampton.

Tazkirah subuh – Aktiviti harian di Musolla As-Saad. Alangkah rindunya saat dan ketika itu. Bersama-sama sahabat,berhalaqah dalam satu kumpulan. Mendengar peringatan, meniti pengisian…

Mu’adz, sahabatku…pelajar tajaan Bank Negara dan kini sedang menuntut di Royal College of Surgeon, Ireland dalam bidang perubatan.

Tazkirah subuhnya berbunyi begini :

Pada zaman dahulu, ada seorang wanita tua yang merasakan dirinya selalu ditimpa musibah. Apa yang dibuat semuanya tidak kena. Apa yang dihajatkan semuanya tidak dapat. Asyik gagal sahaja.Sering menyalahkan takdir. Sehingga menganggap dirinya seorang yang Total Failure.

Semasa dia sedang berjalan-jalan di sebuah taman, seorang anak kecil yang comel molek datang menghampirinya membawa sekuntum bunga lalu berkata. “Cantik kan bunga ini?”

Wanita tua itu seakan-akan acuh tidak acuh sahaja dengan kehadiran anak kecil itu. Maklumlah, siapa mahu melayan anak-anak kecil yang secara tiba-tiba datang menghampiri orang dewasa. Tidak setaraf kononnya! Tidak sama standard. Itulah mentaliti sesetengah orang zaman ini. Tidak pernah ingin menghormati atau menyayangi golongan kanak-kanak.

Tetapi wanita itu tetap mempunyai sifat ingin menjawab. Mungkin kerana tidak ingin menghampakan harapan permintaan anak kecil itu. Lalu dia menjawab dengan mudah..

“A’ah, bunga itu cantik nak..”

Mendengar jawapan itu, si snak kecil itu tidak berlalu begitu sahaja. Dia terus membelek-belek bunga tersebut dengan penuh keasyikan dan tersenyum sendirian. Apalagi, si wanita tua itu pasti berasa pelik, hairan, dan musykil.

Kenapa ya….?

Kuasa Allah menentukan segalanya, apabila diamati betul2, rupa-rupanya si anak kecil itu BUTA matanya.

Menyedari hakikat kejadian yang menimpa, wanita itu tersentak lalu bercucuran air matanya. Menginsafi kejadian yang berlaku dan mengaitkan dengan kisah kehidupannya.

Kenapa? Masakan si anak kecil itu tahu bunga itu cantik sedangkan dia tidak dapat melihat? Ini kerana dia sangat yakin dengan apa yang diyakininya, dia sentiasa berfikiran positif dalam hidupnya dan tidak pernah mengeluh. Sungguhpun pandangan matanya gelap,namun terang pada pandangan hatinya. Dia sangat gembira dan ceria. Malah bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Seandainya hendak dibandingkan dengan wanita tua itu, dia masih dikurniakan kehidupan, malah pancaindera yang lengkap untuk terus berusaha dan berusaha sehingga tiba takdir menjemputnya kembali. Wanita itu berjuta-juta kali lebih beruntung daripada si anak kecil itu.

Itu yang membuatkan wanita itu terharu dan tersedar dari lamunan hidupnya yang lalu. Dalam setiap kegelapan yang dirasai, pasti ada sinar cahaya yang menanti. Carilah ia dengan pandangan hati yang tulus, hanya berserah diri kepada Ilahi. Di situ, kita akan menemui kebahagiaan dan ketenangan yang abadi. Sentiasa berfikiran positif dan khusnul Zan (bersangka baik) dengan setiap ujian diberi.

Orang yang berjaya, adalah orang yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat pemberianNya tanpa keluh kesah dan berusaha untuk memperbaiki dirinya.

Tazkirah ringkas Mua’dz membuatkanku tersenyum sendirian.

Benarlah, dengan bersabar, kita perlu redha, hanya dengan itu kita dapat memahami makna sebenar SYUKUR…

56

Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk. (Al-Qashash: 56)

Sekadar coretan ringkas disepertiga malam…

Wallahua’lam

Read Full Post »

Bismillahirrahmanirrahim.

Sudah hampir sebulan lamanya blog ini tidak di kemas kini. Alasan? Bermacam-macam alasan. Penuh kepelbagaian, penuh dengan warna warni. Baik dari sekecil-kecil alasan, sehinggalah ke sebesar-besar alasan.

Sibuk dengan urusan lain, kekangan masa, malas – mungkin itulah antara alasan yang boleh saya utarakan. Mungkin juga kerana saya tidak ingin menjadi seorang penulis blog yang ‘tegar’, hanya sekadar ‘suka-suka’. Maka, suka-suka sayalah bila saya hendak mengemas kini blog ini.

Namun, apa yang saya pelajari sepanjang proses sebulan ‘hibernasi’ saya dalam arena ini menunjukkan yang sebaliknya.

blue1

Forum Bicara Ad-Din merungkai persoalan yang bermain difikiran.

“Kebenaran  tanpa perancangan akan mudah dikalahkan oleh kebatilan yang terancang

Begitulah kata-kata yang diungkapkan oleh Ustaz Rujhan. Beliau memetik kata-kata tersebut daripada Saidina Ali dalam sesi Forum Bicara Ad-Din terbitan radio Islam IKIM.FM setiap hari sabtu jam 9.00 malam.

Perancangan manusia merupakan satu sunnatullah. Hukum Alam yang ditetapkan oleh Allah ke atas sekalian manusia di muka bumi. Baik bagi mereka yang beriman, mahupun tidak. Perancangan yang teliti dan rapi menjadi penentu kejayaan di hari muka.

Bunga yang subur, perlukan proses penjagaan yang baik. Benih dan tanah yang berkualiti. Cahaya matahari, baja dan air yang cukup. Untuk mendapatkan sepohon bunga yang subur, tidak boleh dengan hanya memberikan baja zikir, siraman doa, bacaan al-quran yang berterusan tanpa melaksanakan hukum alam yang telahpun ditetapkan oleh Allah. Begitulah sunnatullah menetapkannya.

Sunnatullah dan Syariatullah bergerak seiring, barulah hasilnya kejayaan dan keberkatan.

Cemerlang di dunia, gemilang di akhirat, menjadi terbilang disisi Allah, Insya-Allah.

Analogi mudah keberkatan, mengikut hukum Matematik, satu campur satu menjadi dua, namun keberkatan itu, satu campur satu menjadi lebih dari dua. Malah boleh bertambah menjadi  beratus-ratus, beribu-ribu hasilnya.

Keberkatan merupakan bonus yang diberikan Allah buat hambaNya yang ikhlas.

Begitulah Allah menjanjikan bagi mereka yang sentiasa mencari keberkatan dalam setiap amalan kehidupan.

Lantaran ‘hijab’ yang dikurniakan Allah kepada manusia dalam melihat kepada perkara-perkara yang bersifat Sami’yat, maka seringkali manusia terlepas pandang akan perkara ini.

Sekiranya diperlihatkan Allah azab kubur, azab neraka, wajah-wajah bengis Malaikat Zabaniah, maka sudah tentu kemaksiatan dan kekufuran sekaligus mencecah angka sifar.

Inilah sebenarnya ujian. Ujian dalam menentukan tahap keimanan dan keyakinan kita dipangkat mana. Adakah berada di grade A, B, C, mahupun di grade U (ungraded)

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka yang mengubah nasib mereka sendiri”

(Surah ar-raa’d:11)

sydy

Begitu juga dalam proses tarbiyah dan pembinaan diri. Perlu kepada perancangan, perlu kepada tanzim sekiranya kita melihat dari sudut organisasi dakwah ataupun jemaah islam. Perancangan yang rapi itu perlu, bagi melahirkan sifat pro-aktif, dan kritis. Perancangan yang rapi membuatkan kita lebih bersedia terhadap serangan musuh di medan perang.

Bagi mereka yang menjadikan blog sebagai medium penyampaian dakwah, perancangan serta persiapan yang tersusun dan terancang adalah perlu. Supaya kita tidak mudah dikalahkan oleh kebatilan yang terancang.

Apakah kebatilan yang terancang itu? Sekiranya kita bertarung dengan diri sendiri, sudah tentulah hasutan iblis dan syaitan laknatullah. Mereka meniupkan sifat malas, mereka menghamparkan permaidani acuh tidak acuh, mereka menyanyikan siulan keputus asaan, agar kita mudah terlupa, lalai dan leka dalam apa yang dahulunya pernah kita komited untuk lakukan.

“Allah swt sangat suka akan hambaNya yang apabila membuat sesuatu kebaikan, dia akan membuatnya dengan tekun dan bersungguh-sungguh” – Mafhum hadith

Gerak kerja kerajaan syaitan dan iblis dalam menyesatkan manusia sangat tersusun.  Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri syaitan sangat komited dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan portfolio mereka.

Syaitan tidak pernah kenal erti putus asa. Syaitan tidak pernah cuti walaupun cuti pekerja. Syaitan sentiasa berusaha sepanjang masa untuk terus menyesatkan manusia melalui bisikan, hasutan, dan sebagainya.

Itu janji syaitan kepada Allah.


“Ia (syaitan) berkata, ‘Ya Tuhanku, Kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan hal-hal di muka bumi terlihat baik bagi mereka (manusia) dan aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka’.”

(Surah al-Hijr: 39-40).

Oleh itu, bagi mereka yang berjuang di medan dakwah khususnya para penuntut ilmu, rancanglah kehidupan anda dengan sebaik-baiknya. Perlunya mempunyai paradigma begin with the end in mind. Bagi yang masih baru atau samar-samar dengan ungkapan ini, bolehlah merujuk kepada artikel-artikel Ustaz Hasrizal di http://www.saifulislam.com

Saya pernah tewas dengan kebatilan yang terancang ini lantaran kurangnya perancangan yang jelas terhadap jalan dakwah yang saya pilih.

Biarlah sejarah yang lalu menjadi pengajaran. Sesungguhnya sejarah adalah bicara Allah buat kita. Moga pertambahan amalan dan iman seiring dengan pertambahan usia bersempena dengan Maal Hijrah kali ini.

Hijrah menuntut pengorbanan, hijrah menuntut keyakinan, kerana hijrah itu peralihan.

Hijrah bukan sekadar manis di bibir. Ianya perlu lahir daripada kesedaran, ianya perlu kepada kefahaman, dan kefahaman itu hanya akan hadir seandainya kita ikhlas dalam mencari.

Pepatah Arab, “sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya” merujuk kepada semua pihak dan golongan. Tidak hanya ditujukan kepada golongan-golongan mahupun kabilah-kabilah tertentu sahaja.

Kelebihan kita selaku umat Islam, sunnatullah dan syariatullah.

Kejayaan dalam melaksanakan sesuatu urusan yang terancang, menghadirkan keberkatan dalam beribadah, melahirkan kemanisan iman dalam beramal, menjadi saksi untuk diri, sebagai manifestasi pengorbanan di jalan Tuhan, tika kita diperhitungkan di alam mahsyar, saat penentu kebahagian yang berkekalan, mahupun penyesalan yang tiada berkesudahan.

Semoga kita sentiasa diberikan kekuatan dan kesungguhan dalam beramal.

Wallahua’lam.

Read Full Post »

Bismillahirrahmanirrahim

Baru-baru ini, laman web MUSCOM kecoh dengan pertanyaan berkenaan nama gelaranku yang telah lama digunakan sejak beberapa tahun yang lalu, Iaitu firnas_nafiz. Masih ramai yang tertanya-tanya, apakah maksud yang tersirat di sebalik yang tersurat. Dari mana asal kejadian namanya. Insya-Allah, buat yang tertanya-tanya, usah risau. Akan saya penuhi keinginan serta persoalan anda dengan jawapan yang ringkas dan mudah untuk difahami.

Firnas_Nafiz merupakan kombinasi nama dua tokoh ilmuan agung di zaman kerajaan Abassiyah iaitu Abbas Qasim Ibn Firnas (di negara barat lebih dikenali dengan gelaran Armen Ferman) dan Ala al-Din Abu al-Hassan Ali ibn Abi-Hazm al-Qarshi al-Dimashqi atau lebih dikenali dengan gelaran Ibnu Nafis

Ibnu Nafis merupakan pakar dalam bidang perubatan, manakala Ibnu Firnas merupakan pakar dalam bidang kejuruteraan, khususnya mechanical dan aeronautical engineering.

Ibnu firnas merupakan manusia pertama yang memahami konsep penerbangan dan melakukan eksperimentasi untuk terbang menggunakan glider ciptaannya dari bukit Jabal Al-A’rus,berdekatan Cordova, Sepanyol. Cubaan pertamanya untuk terbang bermula dengan baik, namun demikian terdapat sedikit kelemahan teknikal semasa pendaratan. DI samping kemahirannya dalam bidang kejuruteraan, ibnu firnas juga pakar dalam beberapa cabang ilmu yang lain antaranya : polymath, aviator, chemist, engineer, humanitarian, inventor, musician, physician, physicst, poet, astronomer dan technologist. (sumber dari wikipedia)

Ibnu nafis pula merupakan orang pertama yang berjaya menemui dan menjelaskan konsep pulmonary circulation, capillary dan coronary circulations.

Beliau juga berjaya menemui dan memperkenalkan postmortem autopsy,human dissetion, human metabolism, dan pelbagai lagi konsep perubatan yang diterima hingga ke hari ini. Selain dari pemahaman yang meluas dalam bidang perubatan, Ibnu Nafis juga merupakan seorang sarjana yang hebat dalam pelbagai disiplin ilmu yang lain seperti physician, anatomist, physiologist, surgeon, ophthalmologist, Hafiz, Hadith scholar, Shafi`i jurist and lawyer, Sunni theologian, Islamic philosopher, logician, novelist, psychologist, sociologist, scientist, science fiction writer, astronomer, cosmologist, futurist, geologist, grammarian, linguist dan historian.

Saya amat mengagumi dua tokoh sarjana islam ini kerana bercita-cita untuk menjadi seperti mereka, baik dari segi kualiti yang merka ada, mahupun profession mereka yang menjadi sebutan umum. seorang saintis dan jurutera islam yang pakar dan mahir dalam pelbagai bidang ilmu. Multi-talented and versatile scholars.

Pada awalnya, terdetik di hati saya untuk menjadi seorang medical engineer, maka kombinasi ibnu firnas dan ibnu nafis menjadi sumber inspirasi memandangkan ibnu firnas merupakan tokoh besar dalam ilmu kejuruteraan manakala ibnu nafis pula masyhur dalam bidang perubatan. Namun, kini tumpuan saya mula beralih arah ke dalam bidang mechanical engineering. Walau bagaimanapun, penggunaan gelaran firnas_nafiz masih lagi relevan kerana seorang engineer perlu memiliki kualiti pengurusan serta undang-undang yang baik dalam memastikan mereka tidak mudah ‘tertipu’ dengan permainan ekonomi dunia. Ibnu Nafis merupakan seorang hakim dan peguam yang berwibawa satu ketika dahulu.

Tamadun Islam merupakan sebuah tamadun yang hebat dan mahsyur satu ketika dahulu kerana berjaya melahirkan generasi ilmuan yang terbilang dalam pelbagai bidang ilmu, tidak terhad kepada satu cabang sahaja. Kota Baghdad satu ketika dahulu terkenal dengan ‘gedung ilmu’ hasil dari khazanah karya ilmu serta sarjana yang berada di sana. Galakan khalifah yang sememangnya cintakan ilmu dan menyedari hakikat kepentingan ilmu merupakan salah satu faktor kepada kegemilangan tamadun islam.

ibn_al-nafisIbnu Nafis

Rakan-rakan sekalian, seandainya kita mempunyai peluang, masa dan kesempatan, perkayakanlah ilmu yang kita miliki. Usah disekat dan tertumpu kepada satu bidang ilmu sahaja. Ilmu Allah itu tersangatlah luas, pergunakanlah ia dengan sebaiknya. Hanya dengan ilmu, kita bisa menilai antara sesuatu yang haq dan batil bagi membuat sebuah keputusan yang penting pada masa hadapan.

Bukankah Hamka pernah bermadah:

“Akar dan pengakhiran kepada sebuah ilmu adalah bertemu dengan kewujudan Tuhan, yakni Allah yang maha megetahui..”

“Yang paling takut kepadaKu di kalangan hamba-hambaKu ialah ulamak(orang yang berilmu).”

Al-Fathir:28

Masih teringat nasihat yang saya terima daripada seorang ustaz yang amat saya hormati tatkala saya berada di Melbourne :

Orang yang kurang bijak ialah mereka yang tidak mengambil peluang,

Orany yang biasa ialah mereka yang hanya mengambil peluang,

Orang yang bijaksana ialah mereka yang mampu mencipta peluang…

Semoga bermanfaat,

Wallahua’lam

Read Full Post »

Bismillahirrahmanirrahim.

“Sharing is caring” : ayat yang sentiasa menjadi sebutan ramai terutama apabila ditanya mengapa diri suka MEMBERI dan MENABUR BAKTI. Tiada masalah dengan pernyataan di atas, sekadar muqaddimah bagi isu yang ingin saya bawakan untuk diperbincangkan, kerana saya sendiri masih kabur dengan jawapan.

Pernah satu hari, di petang yang hening, setelah pulang dari kelas…tatkala menanti suria melabuhkan tirainya, seorang rakan berbual-bual dengan saya bertanyakan satu soalan..berikut merupakan rentetan perbualan kami :

xxx : Afiq, boleh aku tanye ko satu soalan x?

Afiq : Boleh aje bro, ape die? Insyaallah aku cube jawab…

xxx : Ape pandangan kau kat orang yang membahasakan dirinya menggunakan namanya?

Afiq : Hurm, kalau dikalangan muslimat 2 biasela macam 2…mungkin sebab dah menjadi kelaziman dan naluri mereka..even kat kolej ak dulu pun, biase dengar muslimat gune nama mereka instead of ‘aku,saya,ana’ bila sesama diorang..

xxx : Itu kes lain bro, nie kes kalau muslimin sendiri yang membahasakan diri dia dengan nama dia, pas2 guna time bukan sesama muslimin, tapi bila dia bersama muslimat..

Afiq : Hurm..pelik gak r, sebab jarang ak dengar..ko rase mcm mane?

xxx: Entahlah bro, tapi setiap kali ak dengar, meremang bulu roma aku..menyampah pun ade gak..lagi menyampah bile die mula menggedik2kan suare die bile bercakap dngan muslimat..

Afiq : Hurm..nak hukum muslimin 2, ak nie bukanlah waraq n berilmu sngat. Tapi aku boleh bg pandangan aku la and the rest tue bergantung pada penilaian kau la mcm mane.

xxx: Sile2…

Afiq : Prinsip aku, ak hanya AKAN membahasakan diri aku sebagai ‘AFIQ’, hanya kepada 4 orang aje, Ibu, ayah, serta 2 orang nenek. Sebabnya, kerana sifat hormat,hubungan yang rapat,serta kepercayaan aku pada mereka untuk meluahkan perasaan, dan berkongsi masalah bersama. Bukan bermaksud orang lain aku tiada sifat ini, tapi bagi aku, membahasakan diri sebagai ‘AFIQ’ itu adalah sngat eksklusif, dan mahal harganya…bukan semua orang aku boleh address macam tu. Sama juga halnya apabila ingin meluahkan perkataan ‘I LOVE YOU’ atau ‘SAYA CINTA AWAK’, adakah dengan sewenang-wenangnya perkataan itu boleh diucapkan? Atau kita simpan kata-kata keramat yang berharga itu khusus kepada yang orang yang benar2 kita sayang, menunggu bila tibanya waktu?

Lagi satu, tidak dapat dinafikan, ada sesetengah muslimat, secara naluri dan semulajadinya suara mereka nie jenis yang lembut dan tidak sengaja dibuat-buat. Aku sendiri mengaku, yang ade gak sesetengah muslimat yang aku jumpe kat Oz nie membahasakan diri mereka dengan menggunakan nama mereka sahaja. Tapi adakah kerana mereka membahasakan diri mereka dengan nama mereka, maka aku perlu ikut? Tidak sama sekali sebab aku masih berpegang dengan prinsip..so, what is my solution? Aku gunakan perkataan ‘saya’ atau ‘aku’. Sebab aku rase those words tiada masalah bagi aku..and of course, kita pun jangan la ikut menggedik2 atau melembut2kan suare bile bcakap dngan perempuan..be gentlemen! cakap biar professional..jangan terlentok sane, terlentok sini..nanti orang yang tengok kite pun nampak jelek..lagi2 kalau orang melihat kita sebagai pembawa mesej dakwah.

Mungkin ade yang nampak isu nie isu remeh, tapi pada hakikatnya, isu remeh ini boleh membawa kepada isu yang besar. Kenapa? Kerana dikhuatiri, dengan melembut2kan suara, bernada-nada manja, boleh menimbulkan perasaan syahwat di dalam hati, yang mana seandainya kita terlalu terikut2, nafsu kita mengajak untuk mendengar perkataan2 yang dilemparkan dengan nada manja dan menggoda, bukankah besar kesan 2 kepada kita? Apabila nafsu mula menguasai diri….

Bukankah Allah s.wt pernah berfirman :

Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandngan dan tatacaranya)” (Al-Ahzab : 32)

Apa yang membimbangkan aku ialah, seandainya kita(lelaki) menjadi penyebab kepada wanita untuk melembutkan suara mereka. Caranya melalui contoh yang ko bagi tadi la. Dek kerana kita(lelaki) pun dok tergedik2 bile bercakap dngan wanita, maka mereka terikut sama…in the end, kita pula yang suka bila dengar suara mereka..kita sendiri yang menghadirkan rasa jahat di dalam diri..kita sendiri yang mengundang fitnah kepada wanita itu..masya-Allah..adakah kita mahu menjadi seperti minyak tanah yang hanya menambahkan lagi nyalaan api apabila disimbah?

So, konklusinya, besederhanalah dalam bertutur..lebih2 lagi apabila bertutur dengan kaum yang tidak sejantina dengan kita. Fitrah manusia, ingin menyayangi dan disayangi itu hakikatnya suci. Namun apabila nafsu dan syaitan mula menguasai diri, tidak mustahil ianya boleh menjadi keji seandainya tidak dibatasi dengan batasan syaria’t. Syaitan itu licik sekali tipu dayanya..bab2 hati dan perasaan ini adalah perkara yang ingin kita jaga..impaknya boleh mengundang kepada tindakan yang bisa mengundang penyesalan..

xxx: Hurm…panjang jga ye..huhu, so ko rase mcm mane? Boleh ke tak kalau nak gune nama sendiri nie?

Afiq : Bahasa Melayu kan kaya dengan kata ganti nama diri PERTAMA..pilihlah mana yang sesuai dan selamat..=)

Kami mengakhiri perbualan dengan bermain futsal dihadapan Dewan Malaysia Sydney..bertemankan kumpulan ‘ayam’ yang datang dari Centennial Park..=)

Wallahua’lam, sesungguhnya saya bukanlah orang yang terbaik untuk bercakap tentang hal ini. Justeru kepada para pembaca yang budiman, sebarang komen, teguran, mahupun penambah baikan amat2lah dihargai..mudah2an manfaatnya dapat dikongsi bersama..Asif~

Barakallahufikum jami’an…

Read Full Post »

Older Posts »