Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Uncategorized’ Category

Bismillahirrahmanirrahim

Pertama sekali, ucapan maaf ditujukan buat seorang sahabat atas kelewatan mengeluarkan entri ini kerana beberapa masalah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus bergelut dengan masalah, akhirnya dipertemukan juga jalan penyelesaiannya.
Saya ingin mengulas sebuah rancangan radio saya dengar baru-baru ini, rancangan bertajuk ‘Duniaku Buku’ yang ke udara di stesen IKIM.FM. Perbincangan yang saya rasa amat signifikan kerana isu ini nampak kecil, tetapi kesanya amat besar khususnya dalam keberkesanan penyampaian dakwah.

Sebelum itu, saya ingin lontarkan senario masyarakat sepertimana yang dikatakan oleh Ustaz Zawawi untuk sama-sama kita fahami :

“ Masyarakat kita seandainya diberikan 50 ringgit, kemudian diminta untuk memulangkan semula duit itu, yang dipulangkan tidak pernah akan terlebih menjadi 60 ringgit. Kebiasaannya akan berkurang. Akan tetapi andai diberikan kepada mereka satu berita, kebiasaannya berita itu akan bertambah daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Tidak pernah pula akan berkurang…jarang pula tiada perubahan ”

Walaupun senario di atas boleh dipertikaikan kesahihannya, namun dari segi mesej yang ingin disampaikan jelas, bahawa terdapat sesetengah di antara kita yang suka mencari modal murahan.Maksud saya, menambah-nambah sesuatu berita yang didengari agar berita itu menjadi lebih hangat dan sensasi, mungkin juga kerana ada agenda yang tersendiri. Contoh yang paling mudah, kita lihat bagaimana dunia hiburan yang tidak pernah lekang daripada gosip dan kisah-kisah hangat sepertimana yang terpampang di dada-dada akhbar mahupu internet. Sesetengah daripadanya mungkin betul, sesetengah daripadanya mungkin tidak, malah mungkin terdapat elemen-elemen tambahan yang sengaja direka-reka. Gramatis, dramatis, suspens dan sebagainya. Itu adalah contoh mudah bagaimana kita ingin mengaitkan realiti sebenar budaya ‘tambah-mebambah’ dikalangan masyarakat. Namun tidak dnafikan, kisah-kisah lagenda,penglipur lara misalnya mempunyai unsur-unsur ‘tambahan’ .Cerita-cerita ini disampaikan secara turun temurun, daripada mulut ke mulut, tiada catatan mahupun rekod yang sahih. Maka tidak mustahil apa yang kita terima sekarang, mungkin berbeza dengan apa yang sebenarnya terjadi.

Apa yang dirisaukan, seandainya budaya ini turut diamalkan oleh golongan-golongan pendakwah bagi meyampaikan kalimah Allah dimuka bumi. Maka seharusnya mesej yang ingin disampaikan perlu bersumberkan daripada sumber-sumber yang sahih, tidak lebih dan tidak kurang daripada yang asli. Tidak kira samada berdakwah melalui bidang penulisan, hiburan,lakonan, ceramah dan seumpamanya, perkara pokok yang perlu kita ambil perhatian adalah daripada mana kita dapatkan maklumat tersebut. Adakah melalui sumber yang terbukti sahih? atau adakah daripada sumber yang diragui kesahihannya? atau adakah daripada sumber-sumber yang sengaja direka oleh musuh-musuh islam untuk menjatuhkan umat islam. Ini adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat.

Antara contoh yang paling mudah adalah dalam penyampaian sirah dan hadith. Oleh kerana kita tidak berada dizaman ketika mana Rasulullah masih hidup, amat sukar untuk kita mengetahui bagaimana sebenarnya gaya hidup yang diamalkan oleh rasulullah. Oleh sebab itu, sumber rujukan yang kita gunakan untuk mengetahui perkara ini sudah tentulah daripada Al-Quran serta hadith-hadith yang Sahih. Tanpanya, sudah tentu sukar untuk kita membayangkan bagaimana keadannya bukan? Realitinya, buku-buku mahupun artikel-artikel bertemakan sirah begitu banyak sekali dipasaran,namun sebagai seorang yang cintakan rasulullah, kita harus pastikan bahawa kisah-kisah yang disampaikan merujuk kepada sumber-sumber atau sanad yang sahih. Hal ini kerana di zaman ini, begitu banyak sekali kisah-kisah yang kononnya dikatakan sirah, tetapi apabila disemak, mengandungi unsur-unsur tambahan. Misalnya hujah – hujah diambil daripada hadith-hadith maudu’,ataupun hadith-hadith yang tidak disertakan sekali sanadnya, diselitkan pula dengan kisah-kisah isra’iliyat – kisah-kisah yang direka oleh orang yahudi untuk kepentingan mereka sendiri, bukan kisah benar..serta bermacam-macam lagi.

Cuba fikirkan, apa salahnya jika kita terpaksa mengambil masa yang lama dalam mencari kebenaran sesuatu maklumat seandainya kita yakin ilmu yang bakal diperoleh itu benar-benar sahih dan tepat, bukankah itu lebih utama? Manfaatnya dapat dikongsi bersama. Berbanding jika terus mempercayai sesuatu yang belum sahih kebenarannya secara membuta tuli lalu terus disampaikan kepada orang lain tanpa memikirkan kesannya. Bukankah ianya seolah-olah menyebarkan berita palsu? Apa akan terjadi jika ‘dakyah’ kita itu tiba-tiba tersebar luas. Siapakah yang harus bertanggungjawab? Maka, berhati-hatilah dalam menulis dan memahami sesuatu penulisan. Untuk sesuatu ilmu itu bermanfaat dan menjadi bekalan di alam barzakh kelak, sudah tentu ianya perlu diperoleh daripada sumber yang sahih dan benar. Seelok-eloknya, belilah buku-buku rujukan daripada kalangan para ulama’ muktabar agar kita mempunyai rujukan seandainya berlaku kekeliruan dalam sesuatu perkara.

Paling menakutkan andai para daie meletakkan emosi melebihi akal dalam penyampaian. Dikhuatiri akan wujudnya unsur ‘Lebih-lebih’ atau dalam bahasa inggeris disebut ‘exaggeration’. Mungkin kerana terlalu menghayati serta beremosi ketika menyampaikan sesuatu, secara tidak langsung menambahkan unsur-unsur atau kisah-kisah yang selari dengan emosi dan perasaannya ketika itu sedangkan pada asalnya mengikut sumber yang sahih, perkara yang terjadi tidaklah ‘sedahyat/sehebat’ seperti mana yang digambarkan. Sebab itu pentingnya kita untuk tidak mengikut emosi. Andai terlalu mengikut emosi, nafsu akan mula merajai diri. Sehingga ke satu tahap, kita rasa apa yang kita sampaikan adalah betul. Janganlah sehingga menghalalkan sesuatu yang haram semata-mata kerana ingin mengatakan tindakan kita betul. Jangan sehingga berlaku unsur fitna atau penipuan semata-mata kerana ingin menarik perhatian ramai. Salah tindakan itu. Malah boleh menimbulkan perpecahan. Justeru, bertindaklah dengan akal yang waras, bukan dari emosi yang membara dan tidak berpandu kepada petunjuk ilahi. Emosi boleh dijadikan ‘driving force’ dalam tarbiyah, namun emosi bukanlah sandaran utama. Yang penting akal yang berdasarkan wahyu ilahi.

Kesimpulannya, berhati-hatilah dalam menerima, mentafsir, serta menyampaikan maklumat. Lebih-lebih lagi maklumat yang berkaitan dengan isu-isu akidah, hadith nabi, hukum dan sebagainya. Perlunya kita untuk memastikan sesuatu maklumat itu sahih sebelum disampaikan kepada orang lain supaya tidak berlaku masalah nanti. Berhati-hatilah dalam berbicara, elakkan daripada mengumpat dan memfitnah kerana amalan itu bukan sahaja membawa kepada pergaduhan, permusuhan, serta perbalahan dikalngan masyarakat, malah sangat dicerca oleh Allah.

Nabi Muhammad saw termasuk orang yang sangat jarang berbicara, tetapi setiap kali berbicara pasti dipastikan kebenarannya. Setiap butir kata bagai untaian mutiara yang indah, berharga, bermanfaat. Bahkan bisa menembus, menggugah, menghujam, dan memiliki daya ubah hingga menjadi kebaikan bagi sesiapa pun yang mendengarnya. Mulut kita ini seperti corong teko. Teko hanya akan mengeluarkan isi yang ada. Kalau di dalamnya air bersih, yang keluar bersih. Kalau di dalamnya air kotor, yang keluar pun kotoran. Kerana itu bila kita ingin mengetahui darjat seseorang, lihatlah dari apa yang diucapkan dan dilakukannya.

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar. (QS Al Ahzab [33]:70)

Rasulullah saw bersabda, “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia mengatakan yang baik atau diam”. Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

”Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian lain. (Kerana) bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan bagi wanita pun ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. Dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (An-Nisaa: 32)

Wallahua’lam

Read Full Post »

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini sudah masuk hari yang kedua berpuasa pada tahun 1430 Hijrah, fuh..sungguh pantas masa berlalu.

Berbuka puasa di Uni tadi memang merupakan acara yang ditunggu-tunggu, maklumlah..tidak perlu memasak untuk berbuka. Hanya perlu masak untuk sahur sahaja memandangkan “deria rasa” sudah kembali semula setelah seharian “dikunci”.

Ramai sungguh tetamu yang hadir pada majlis Iftar yang pertama tadi, Allah..terasa kesatuan disitu. Berjumpa dengan kawan2 baru dari pelbagai keturunan, bangsa dan budaya..sesunggunya hanya Islam yang membolehkan kita berSATU..bukannya rumpun bangsa yang sering digembar-gemburkan hari ini..umpama kata-kata retorik semata..pelik juga kenapa manusia sanggup memperjuangkan bangsanya melebihi agama..sedang yang memuliakan bangsanya adalah agama, bukan kerana bangsa itu semata..pelik sungguh manusia…

Cumanya..agak terkilan dan sedih dengan suasana..kerana yang membuka ‘kedai kopi’ selepas solat berjemaah tadi adalah orang2 Melayu Malaysia Muslim..dikala jemaah yang lain sibuk bersolat sunat mahupun membaca al-quran, terdapat segelintir mereka yang terlebih ‘ramah’ berbuat bising di surau..Allah, ini bulan ramadhan..kalau nak bising sekali pun, pergi la luar surau..jangan kacau orang dalam surau..kalau zaman sahabat, mahu kena pancung oleh saidina Umar kelompok2 ini..

Apa2pun, buat mereka yang terasa..semoga selepas ini kejadian tersebut tidak berulang lagi. Nasihat atas dasar sayang, bukan mencari kesalahan…

Iftar berjalan dengan lancar..para jemaah dihidangi nasi arab beserta ayam golek, kentang, serta pizza arab. Alhamdulillah~ nikmat kegembiraan yang Allah berikan ketika berbuka..selebihnya nikmat tersebut Allah simpan dan akan diberikan ketika bertemu dengan Allah di Alam akhirat nanti..insyaAllah…~

Read Full Post »

Kisah Sawah

Bismillahirrahmanirrahim.

Sebuah sawah padi kepunyaan Pak Nik yang terletak di Pantai Timur semenanjung Malaysia.

Sawah padi yang dijaga dengan cukup rapi, cukup baik dan terpelihara. Diberi baja dan air yang cukup. Padi dibelai bagai menatang minyak yang penuh. Menunggu tibanya musim menuai bagi memungut hasil. Di bina batas, di jaga saliran, bak kata semuanya mengikut peraturan yang sedia termaktub bagi tumbesaran padi yang sihat.

Bagi mengelakkan sawah dimasuki tikus dan serangga perosak, dipagarnya sawah berkenaan dengan sebaik-baiknya. Semuanya demi memastikan kelestarian tumbesaran padi yang sihat yang bakal memberi manfaat.

Tapi sayang, seribu kali sayang….

Kerana sistem perancangan tanah kawasan yang tidak terancang, bertujuan memisahkan kelompok-kelompok sawah dengan garis sempadan, kawasan bendang Pak Nik berkongsi tanah dan sawah dengan Pak Zambry, Pak Noh, Pak Adnan, dan ramai lagi.

Sawah Pak Nik sangat terjaga, tetapi sawah2 disekitarnya? Tidak dibiarkan terjaga, semak merata-rata, makhluk perosak berleluasa. Penjaganya hanya duduk bersilang tiga sahaja sambil mengharapkan untung atas angin yang datang.

Berapa kali dinasihat supaya “jaga” kawasan baik2 mengikut undang-undang yang terbaik, tetap tidak mahu diendahkan.

Samada tidak tahu, atau pura-pura tidak tahu. Bodoh sombong mungkin?

Apabila malam menjelma, muncul tikus2 dari luar kawasan sawah Pak Nik menyelusup masuk ke dalam sawah Pak Nik merosakkan hasil tanaman, habis kesemuanya punah ranah.

Agak sukar menjaga tanaman sekiranya kawasan sekeliling masih rosak dan penuh dengan makhluk perosak

Makhluk perosak yang datangnya daripada kawasan lain. Luar daripada kawasan yang dirosakkan.

Kasihan Pak Nik…namun, itulah lumrah dan hukum alam. Sukar bagi manusia mencapai tahap kesempurnaan yang total kerana manusia itu lemah sifatnya, tetapi tidak mustahil untuk kita berusaha ke arah kesempurnaan.

Begitu juga halnya dengan konsep Amar makruf, nahi mungkar..

Ketepikan isu perkauman, politik, warna kulit, bangsa, mahupun kedudukan..

Selagi mana akidahnya tetap Islam, maka ini menjadi KEWAJIPAN kepada semua…serulah kepada kebenaran, cegahlah kemungkaran..

seandainya ada golongan kita sendiri yang mengecam golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka golongan ini sebenarnya merupakan penternak kepada “tikus-tikus” dan makhluk perosak ini tadi…

Dimanakah sumbangan kita terhadap Islam?

Wallahua’lam

Read Full Post »

Bismillahirrahmanirrahim.

Saat dan ketika ini, musim peperiksaan akhir semester bagi universiti-universiti di Australia bakal bermula. Jadual peperiksaanku kali ini agak fleksible dan renggang jika hendak dibandingkan dengan semester lalu. Berikut merupakan jadual peperiksaan yang bakal dihadapi semester ini:

Engineering Mathematics MATH2019 – 12 June

Thermodynamics MMAN2700 – 22 June

Engineering MMANMechanics – 26 June

Tekanan peperiksaan yang dihadapi, bagaimana pula dengan tekanan peperiksaan ketika di akhirat nanti? Allah, terasa diri ini masih belum cukup bersedia lagi~

Ketika sibuk menghadapi peperiksaan, muncul pula masalah berkenaan dengan rumah. Alhamdulillah, rumah baru sudahpun dapat, tinggal hendak pindah sahaja lagi..

Buat rakan2 seperjuangan sekalian, selamat menempuh peperiksaan akhir semester walau dimana kalian berada..Usaha dan Tawakal, merupakan pakej lengkap dalam menempuhi peperiksaan..seeru a’la barakatillah~ =)

Wallahua’lam.

Read Full Post »

Lega…

Bismillahirrahmanirrahim.

Saat post ini ditulis, aku baru sahaja menyiapkan soalan mechanics Dynamics online quizz. Soalan terakhir yang diberikan oleh pensyarah yang menyumbang 7% markah kesuluruhan subjek mechanics.

Alhamdulillah, gembira + letih + syukur rasanya..

terkejut apabila melihat masa yang diambil untukku menjawab SATU soalan ini saaaangat lama…2 JAM!! Ya Allah~

samada soalan ini benar-benar susah, atau aku masih lagi lemah dalam subjek ini.

Rigid body kinetics & work energy..tajuk yang menarik, tetapi agak rumit jalan pengiraannya..berhelai-helai kertas diperlukan..

Semoga dipermudahkan segala urusanku untuk menjawab kertas Mechanics 26 Jun nanti..rabbi yassir wa la tu’assir, wa tammim bil khair..(^,^)y…

“Orang yang malang ialah orang yang gagal mengambil peluang..orang yang biasa ialah orang yang tahu mengambil peluang..tetapi orang yang berjaya ialah orang yang bijak mencipta peluang..”

Wallahua’lam.

Read Full Post »

Bismillahirrahmanirrahim.

Video that was taken during our first run in 2009 Warman competition. Enjoy! =)

Read Full Post »

Bismillahirrahmanirrahim

Buat kuih raye..sdap2..

Rasanya masih belum terlewat untuk saya ucapkan SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada seluruh muslimin dan muslimat. Maaf sebab agak lewat mengeluarkan post beraya di Australia atas sebab-sebab yang tertentu. Apa-apapun, pengalaman beraya di perantauan perlu dikongsikan bersama. Mudah-mudahan ianya dapat memberi manfaat kepada mereka. Especially juniors yang akan fly tak lama lagi…=)

Sambutan hari raya di sini? Best tetapi tak semeriah sambutan hari raya di Malaysia. Memandangkan saya duduk di Hall, maka sehari sebelum hari raya, mcm2 persiapan dilakukan. Muslimat sibuk menguruskan kerja-kerja dapur, membuat kuih2 raya, puding, kek batik, serta cookies. Saya x ketinggalan untuk turut sama membantu ‘memasak’ dan membuat kuih raya. Rupa-rupanya, memasak nie bukanlah susah sangat pun. Hanya berpandukan menu yang di download daripada internet. Membuat puding juga tidaklah sesusah mana. Campur sahaja bahan2,kacau2, masuk dalam peti ais, SIAP!!..=)

Kaum “bapa” pula sibuk menyiapkan perhiasan dalaman Malaysia Hall demi sambutan Hari Raya. Banner bergantungan, pelita panjut dipasang, sesungguhnya hari raya menjadi platform future malaysian architects untuk memantapkan lagi skill yang mereka ada. Bertugas dalam dunia sebenar. Khemah-khemah dipasang bagi menampung tetamu yang bakal hadir nanti.

Pada malam itu, setelah solat maghrib dan isyak, laungan Takbir raya bergema di surau Ad-diwani (surau Malaysia Hall) Subhanallah, sayu rasanya hati apabila mendengarkan takbir. Terkenang ibu, ayah, adik beradik yang berada di kampung serta sanak saudara. Kebiasaannya apablia tiba malam raya, seluruh keluarga saya akan berkumpul bergotong royong menyiapkan rumah, bertakbir bersama-sama, bergurau senda. Namun kini, hanya sahabat seperjuangan menjadi penawar duka…mujurlah dengan istilah teknologi tanpa sempadan, sempat juga saya membuat video call dengan family menggunakan skype..Alhamdulillah.

Pagi raya, takbir mula bergema seawal jam 6.45 pg di Malaysia Hall. Selaku Biro Kerohanian Malaysia Hall, saya dipertangungjwabkan untuk mengetuai laungan takbir bersama-sama dengan beberapa orang sahabat yang lain. Ramai sungguh orang Malaysia yang datang, mengenakan pakaian yang indah. Sangat meriah!..Subhanallah!..terasa hebatnya keagungan Allah, serta kemenangan hasil daripada tarbiyah Ramadhan. Laungan takbir bergema, memecah sunyi, menghadirkan perasaan ingin tahu dikalangan penduduk setempat, menyuntik jiwa yang lalai, serta melembutkan hati yang keras. Setelah selesai solat hari raya, kami bermaaf-maafan, bergambar kenangan, serta MAKAN~…makanan raya kami pada hari itu, Spagetti, Pasta, nasi himpit dan rendang..agak pelik bukan?..maklumlah, OZ style..=)

Petangnya pula, saya menerima jemputan rumah terbuka beberapa orang sahabat, serta pegawai MSD di Sydney. Seharian beraya, menziarahi sahabat-sahabat yang tinggal di Sydney. Pukul 9.00 malam barulah saya pulang ke hall. Masya-Allah, sangat penat…tetapi sangat puas dan gembira. Hurm..setelah difikir2, akhirnya saya menjumpai satu perkara yang menarik, antara hikmah beraya di perantauan khususnya OZ..apakah dia?

1. Nikmat yang tidak terhingga apabila saya menziarahi sahabat-sahabat, berjabat tangan, serta mengucapkan kalimah yang mendoakan antara satu sama lain. Menjana ukhwah berputik, serta mengeratkan ukhwah yang sedia terjalin.

2. Terasa kesatuan didalam komuniti Islam yang TIDAK hanya terdiri dari kalangan MELAYU, tetapi komuniti Islam antarabangsa. Ke mana-mana sahaja saya pergi, pasti apabila berselisih dengan penduduk OZ yang beragama Islam, ucapan “Eid Mubarak Brother..” akan kedengaran

Di Malaysia, saya kurang merasai perasaan itu, mungkin kerana terlalu leka dengan Hiburan-Hiburan Hari Raya yang ditayangkan di Televisyen, menyebabkan semangat untuk beraya dengan erti kata menziarahi jiran tetangga, membantu dan melawat golongan yang kurang upaya, serta aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang lain agak pudar dalam diri saya sebelum ini. Subhanallah, akhirnya saya dipertemukan dengan nikmat ini. Tidak hairanlah baginda Nabi Muhammad S.A.W menuntut umatnya untuk meraikan hari raya secara berjemaah dan bukannya secara bersendirian.

Setakat itu sahaja dulu buat masa ini, Insyaallah..semoga dipertemukan dengan Ramadhan dan Syawal pada tahun hadapan. Bulan yang dipenuhi barakah, kemuliaan serta rahmat. Semoga kita mendapat manfaat hasil daripada tarbiyah ramadhan yang lalu. Salam Lebaran dari bumi New South Wales..=)

SALAM LEBARAN DARI Malaysia Hall Sydney Residents…

Kembarku…apakah???

Wallahua’lam

Read Full Post »

Older Posts »